MTL: APM tingkatkan kesiapsiagaan selamatkan mangsa lemas positif COVID-19
PANTAI KUNDOR 29 Sep – Menjelang Monsun Timur Laut (MTL) bulan depan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka meningkatkan kesiapsiagaan menyelamatkan mangsa lemas positif COVID-19.
Latihan pegawai dan anggota APM tidak lagi sekadar latihan rutin, sebaliknya ditingkatkan dengan kemampuan menyelamatkan pesakit COVID-19 yang hanyut di laut akibat ribut monsun berkenaan.
Pengarahnya, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra menegaskan, kedatangan MTL mendedahkan orang ramai, terutama penghuni petempatan pinggir pantai kepada bahaya ribut.
“Kali ini kami bukan setakat meningkatkan latihan menyelamatkan mangsa lemas di laut atau di kawasan banjir, malah kaedah menyelamatkan mangsa yang disahkan positif COVID-19.
“Tugas itu kami selaraskan dengan pembabitan pegawai Kementerian Kesihatan, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat,” katanya selepas menyaksikan simulasi menyelamatkan mangsa lemas akibat ribut MTL di Pantai Puteri, dekat sini hari ini.
Simulasi dilakukan empat pegawai dan 20 anggota APM yang menyelamatkan dua penghuni kediaman di tepi pantai yang tercampak ke laut selepas kediaman mereka musnah dipukul ribut.
Pegawai dan anggota terbabit mempamerkan kecekapan menyelamatkan mangsa hanyut sebelum dibawa ke pantai untuk proses sanitasi pegawai APM yang lengkap memakai peralatan pelindung diri (PPE).
Beliau berkata, pegawai dan anggota APM akan meningkatkan pengawasan di pantai peranginan di negeri ini seperti di pantai ini, Klebang, Pengkalan Balak, Padang Kemunting, Tanjung Bidara, dan Kuala Sungai Baru.
Untuk tujuan itu, APM akan mengemukakan permohonan kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) untuk mendapatkan satu lagi menara tinjau di pantai Klebang.
“Setakat ini menara seumpama itu cuma ada di Pantai Puteri, Tanjung Bidara dan Pengkalan Balak.
“Dengan adanya menara tinjau, usaha menjaga keselamatan pengunjung pantai mampu ditingkatkan bukan setakat untuk menyelamatkan mangsa lemas, malah mereka yang disengat obor-obor,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.