
MTE2020: UTeM raih emas menerusi reruai COVID-19
DURIAN TUNGGAL 5 Nov. – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) merangkul pingat emas dan Anugerah Khas (Euro Haller Business Award) pada Malaysia Technology Expo (MTE) 2020, menerusi projek reruai saringan COVID-19 yang dibangunkan bersama pihak industri, baru-baru ini.
Sementara itu, produk pelindung muka dikenali ‘UTeM Face Shield’ dihasilkan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembutan (FTKMP) memenangi Anugerah Merit.
Naib Canselor UTeM Prof. Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim berkata, penyertaan itu bagi menghargai semua inovasi terhadap pandemik COVID-19 merangkumi pelbagai kategori.
Katanya, kejayaan itu menggambarkan peranan UTeM bersama komuniti dalam negara dan peringkat dunia bagi mengekang pandemik tersebut.”Reruai ini mengurangkan beban doktor di samping selamat digunakan kerana dilengkapi penapis âULPAâ yang mempunyai tahap keefisienan tinggi menapis zarah bersaiz 0.12 micron.

“Ia juga dilengkapi mikrofon tanpa wayar untuk komunikasi antara doktor dan pesakit serta lampu dan penghawa dingin untuk keselesaan doktor menjalankan tugas,” katanya.
MTE 2020 Edisi Khas, Anugerah Inovasi Antarabangsa COVID-19 ini diadakan secara atas talian pada 30 September hingga 2 November lalu.
Katanya, projek itu dibangunkan dengan kerjasama rakan industri, AFA Technologies Sdn. Bhd., dan ALPRO Engineering Sdn. Bhd., dan pembangunan reruai mengambil masa selama tiga bulan.
“Projek ini melibatkan penyelidik UTeM diketuai Pengarah Pusat Hubungan Industri UTeM, Prof Dr. Kok Swee Leong dan Prof Dr. Zahriladha Zakaria.
“Di samping memenangi pingat emas, produk ini turut terpilih bagi menerima Anugerah Khas (Euro Haller Business Award),” katanya lagi.