Sorting by

×

MTC salur RM600,000 bantu usahawan Bumiputera terkesan banjir

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

BUKIT RAMBAI 31 Dis – Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) menyalurkan sumbangan berjumlah RM600,000 bagi membantu usahawan Bumiputera mikro yang terkesan akibat bencana banjir di Lembah Klang baru-baru ini.

Pengerusinya, Norrida Yusoff berkata kira-kira 70 pengusaha di bawah industri kayu-kayan itu terjejas teruk termasuk tidak boleh menggunakan peralatan yang telah disediakan bagi tujuan perniagaan mereka.

“Untuk industri ini sepanjang banjir ada kita sumbangkan…baru-baru ini sejumlah RM600,000 kita salurkan untuk pengusaha-pengusaha yang mana terkesan dengan banjir.

“Setakat ini 70 pengusaha yang terlibat terpaksa tanggung kerugian kerana peralatan perniagaan mereka rosak, biarpun sumbangan ini tidak 100 peratus tetapi dapatlah meringankan sedikit beban mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarakan Program Pembangunan Usahawan Bumiputera Mikro MTC dan Penyerahan Mesin kepada Usahawan Bumiputera Mikro Negeri Melaka di Impressive Perindustrian Bukit Rambai, hari ini.

NORRIDA melihat gerai pameran usahawan mikro tersebut.

Mengulas lanjut, Norrida berkata MTC dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) memperuntukkan sejumlah RM800,000 bagi membantu usahawan Bumiputera mikro di seluruh Malaysia bagi tahun 2021.

“Kita tahu usahawan mikro ini kecil, jadi kita perlu bantu mereka untuk terus kehadapan.

“Selepas membuat kaji selidik industri kayu-kayan ini, kita dapati usahawan mikro ini masih terlalu sedikit, jadi kita sasarkan 20 usahawan akan dilahirkan bermula hari ini di Melaka dan enam lagi negeri terlibat.

“Hari ini kita datang ke Melaka buat pertama kali, selepas ini ke negeri lain pula seperti Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu dan Johor,” katanya lagi.

Hadir sama Ketua Pengarah MTIB, Mahpar Atan dan Presiden Persatuan Pengusaha Kayu-Kayan dan Perabot Bumiputera Malaysia (PEKA), Farosham Naizamohideen.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1602
Kongsi :
Previous post Banjir: Lebih 4,000 anggota polis sedia hadapi kemungkinan banjir di Johor
Next post Sukarelawan PUHA luluh hati lihat nasib mangsa banjir
Ubah saiz-+=