MT UMNO putuskan sokong Kerajaan Perpaduan bukan diterajui PN

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

KUALA LUMPUR, 24 Nov – UMNO menyokong untuk menyertai Kerajaan Perpaduan seperti yang dizahirkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, namun bukan yang diterajui oleh Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataannya berkata ia diputuskan dalam Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO. 

“MT sebulat suara memutuskan untuk menyokong dan menjunjung titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong supaya  Barisan Nasional mengambil bahagian dalam Kerajaan Perpaduan …bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat lebih tiga jam di Menara Dato Onn di sini malam tadi.

Katanya namun kerajaan itu bukanlah yang diterajui oleh PN.

Beliau berkata MT juga bersetuju semua wakil-wakil parti yang memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 mematuhi dan menerima sebarang bentuk Kerajaan Perpaduan atau lain-lain bentuk kerajaan yang bakal dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda.

Menurut Ahmad,  mesyuarat MT  UMNO turut memperkukuhkan sokongan terhadap Ahmad Zahid untuk terus kekal menerajui sebagai Pengerusi BN dan sebulat suara menyokong beliau sebagai Presiden UMNO. 

MT telah mengambil maklum dan memperhalusi segala butiran kedua-dua perbincangan yang telah dijalankan oleh Jawatankuasa Perundingan BN dengan Pakatan Harapan (PH) dan PN, katanya. 

Beliau turut memaklumkan Perhimpunan Agung UMNO  2022 akan diadakan dari 21 hingga 24 Dis.

Pada PRU15 baru-baru ini BN hanya memenangi 30 kerusi Parlimen, pencapaian terburuk dalam sejarah, manakala PH menang 82 kerusi, Perikatan Nasional (73), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Parti Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi.

Keputusan PRU15 menyaksikan tidak ada parti mahupun blok parti politik yang berjaya mendapat majoriti sekali gus menyebabkan Parlimen tergantung. 

Majlis Raja-Raja akan bermesyuarat hari ini bagi membincangkan pembentukan kerajaan baharu. 

— BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2366
Kongsi :
Previous post Bukan rusuhan, tapi kandungan Tiktok diubah suai- Polis Perak
Next post Tiga ditahan disyaki keldai akaun
Ubah saiz-+=