Sorting by

×

MSIA tidak memihak kepada cadangan sekatan pergerakan penuh ekonomi, negara

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

KUALA LUMPUR. 20 Mei. – Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) berkata ia tidak memihak kepada cadangan pelaksanaan sekatan pergerakan secara penuh terhadap ekonomi atau negara.

Dalam kenyataan semalam, persatuan itu berkata ia komited untuk mengetatkan dan menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja.

“Pekerja perlu mempunyai disiplin diri untuk berada di rumah atau di asrama penginapan terutamanya selepas bekerja untuk mengurangkan adanya kontak rapat. Kebenaran untuk keluar adalah dari lokasi ke lokasi, dari tempat kerja ke kediaman dan ke tempat kerja.

“Sekiranya diperlukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperketatkan, PKP secara bersasar perlu dilaksanakan berdasarkan data dan sains,” katanya.

Persatuan itu turut menggesa agar kawasan atau acara melibatkan orang ramai mengetatkan SOP dan mengurangkan jumlah individu dalam satu-satu masa.

Namun, katanya, penutupan boleh dipertimbangkan sekiranya tidak mematuhi SOP dan apabila langkah sanitasi sepenuhnya perlu dibuat.

Selain itu, MSIA berkata, program vaksinasi perlu disegerakan agar negara boleh mencapai imuniti kelompok dengan lebih cepat dan industri pula boleh meneruskan operasi dengan risiko rendah.

“Kami ingin menegaskan bahawa operasi kilang perlu dijalankan melibatkan 100 peratus tenaga kerja termasuk reka bentuk dan pembangunan. Kakitangan pejabat pula harus bekerja dari rumah sebanyak yang mungkin.

“Malaysia merupakan rantaian bekalan utama kepada industri elektronik global dan impaknya kepada perniagaan adalah buruk sekiranya terdapat sebarang penutupan atau pengurangan tenaga kerja. Kerugian perniagaan tidak boleh dipulihkan khususnya apabila kilang di negara lain masih beroperasi.

MSIA turut berharap agar kerajaan membenarkan syarikat untuk membawa masuk vaksin bagi mempercepatkan proses vaksinasi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

313
Kongsi :
Previous post Capaian terhadap pornografi kanak-kanak meningkat dalam tempoh PKP
Next post DPS akan laksana projek pembangunan bernilai RM150 juta di Melaka
Ubah saiz-+=