MSC Malaysia kini dikenali sebagai Malaysia Digital – Annuar
Ketika mengumumkannya hari ini, beliau berkata ini penting berikutan MSC Malaysia perlu berkembang sejajar dengan perubahan pesat norma sosioekonomi yang menjadi tindak balas terhadap kemajuan teknologi digital secara berterusan.
Malah, sejak diperkenalkan, MSC Malaysia terbukti menjadi pemangkin dan mentransformasi Malaysia sebagai ekonomi berteraskan pengetahuan, kata beliau.
“MSC Malaysia diwujudkan bagi memupuk ekosistem serba kondusif yang dipacu oleh pembangunan infrastruktur mewah dan kehadiran syarikat-syarikat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam koridor terbabit,” katanya ketika berucap merasmikan Minggu Ekonomi Digital Malaysia di Ekspo 2020 Dubai, hari ini.
Berkongsi kejayaan inisiatif itu, Annuar berkata MSC Malaysia turut membantu memacu pertumbuhan ekonomi digital negara ini yang pada masa ini menyumbang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Ia merupakan satu program yang tidak pernah disaksikan di dunia pada 1996 atau menjadi satu ‘game changer’ (pengubah).
“Dari pelbagai sudut, MSC Malaysia adalah permulaan asal ketika perkataan ‘startup’ (permulaan) itu masih belum wujud,” katanya.
Menurutnya, kerajaan telah mengenal pasti ekonomi digital sebagai antara bidang pertumbuhan ekonomi utama Malaysia bagi mencapai pertumbuhan mampan sambil memastikan kemakmuran bersama diraih menerusi agihan adil serta saksama yang merentasi kumpulan pendapatan, etnik serta agama.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, ekonomi digital diunjurkan menyumbang sebanyak 25.5 peratus kepada KDNK Malaysia menjelang 2025.
Selain itu, kerajaan menerusi Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) akan terus memacu kemajuan ekonomi digital ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara digital yang kompetitif dan hab digital ASEAN, kata beliau.
“Pandemik COVID-19 terbukti menguji kita dalam pelbagai aspek dan mengekang kemampuan untuk berkembang. Namun, pada masa sama, ia turut menjadi pemangkin bagi ekonomi digital, membuka laluan untuk teknologi e-dagang dan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) bagi meraih pertumbuhan yang hebat,” katanya.
Annuar berkata, Malaysia juga tidak ketinggalan memanfaatkan gelombang digital, membangunkan ekosistem yang dijana oleh teknologi maju seperti kecerdasan buatan (AS), internet pelbagai benda (IoT) dan Analisis Data Raya.
Merujuk Laporan e-Conomy Asia Tenggara (SEA) oleh Google, Temasek dan Bain & Company, beliau berkata Malaysia mencatatkan sebanyak tiga juta pengguna digital baharu sejak pandemik bermula pada 2020 manakala 81 peratus daripada semua pengguna internet adalah pengguna perkhidmatan digital.
Laporan tersebut mengunjurkan ekonomi internet Malaysia secara keseluruhannya mencecah US$21 bilion dari segi Nilai Dagangan Kasar (GMV) pada 2021 dan seterusnya US$35 bilion menjelang 2025.
Pada September 2021, pendapatan e-dagang Malaysia berjumlah RM279 bilion — peningkatan sebanyak 17.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Pada awal tahun lepas, Malaysia telah melancarkan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia atau MyDIGITAL iaitu inisiatif bagi memacu transformasi digital dan memacu pertumbuhan ekonomi terbabit.
Ia menawarkan satu kerangka kukuh yang dapat membantu mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan dalam ekonomi digital, membantu 5,000 syarikat permulaan atau pemula niaga memulakan operasi dalam tempoh lima tahun berikutnya serta menarik pelaburan baharu bernilai RM70 bilion dalam sektor digital.
Dalam pada itu, Majlis Ekonomi Digital Negara dan Revolusi Perindustrian Keempat (MED4IR) pula telah menubuhkan Pejabat Pelaburan Digital (DIO) bagi kemudahan pelaburan digital di Malaysia.
Sejak memulakan operasi pada April 2021, pihak DIO telah memberi kemudahan pelaburan digital bernilai RM13.1 bilion di Malaysia yang merangkumi projek-projek pusat data manakala RM57.3 bilion projek digital lain kini dalam perancangan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Mahadhir Aziz menyifatkan pelancaran Malaysia Digital dijangka dapat meningkatkan nilai Malaysia bagi menarik pelaburan digital menerusi rangka kerja baharu yang berteraskan tiga komponen utama iaitu ketangkasan, fleksibiliti dan perkaitan atau relevan.
“Kempen ini akan menjadi pemacu bagi melonjakkan ekonomi digital ke tahap baharu selain memupuk masyarakat yang progresif, saksama dan diterajui oleh aspek inovasi yang seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya.
Minggu Ekonomi Digital tersebut merupakan antara 26 program perdagangan dan perniagaan mingguan dengan tema tertentu yang dianjurkan oleh Pavilion Malaysia bagi acara Ekspo 2020 Dubai. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.