Sorting by

×

MRCB, PM MULTILINK & MAJESTIC QUEST BANGUNKAN HOSPITAL PUTRA 2

Masa Membaca:2 Minit, 27 Saat

KUALA LUMPUR 24 Januari – Melaka bakal memiliki fasiliti pelancongan kesihatan terkini dan moden di rantau ini menerusi pembangunan Hospital Putra 2.

Pembangunan fasiliti canggih itu adalah hasil usahasama anak syarikat milik penuh Perbadanan Melaka (MCORP), PM Multilink Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Malaysian Resources Corporation (MRCB), MRCB Land Sdn Bhd dan Majestic Quest Sdn Bhd.

Fasiliti kesihatan dianggarkan bernilai RM520 juta itu meliputi kawasan seluas 3.23749 hektar, akan merangkumi kemudahan seperti pusat kecemerlangan khusus untuk perkhidmatan Jantung dan Ortopedik, dilengkapi 300 katil, 100 suite perunding, perkhidmatan sokongan makmal dan patologi.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merangkap Pengerusi MCORP menganggap usahasama itu sebagai cukup bersejarah buat Negeri Melaka.

Katanya, kemudahan tambahan juga akan dibangunkan bertujuan mewujudkan destinasi penjagaan kesihatan dan gaya hidup yang komprehensif, memperkayakan komuniti sekitar sambil memperkukuhkan kedudukan Melaka sebagai hab penjagaan kesihatan serantau.

“Fasa pembangunan Hospital Putra seterusnya akan memperkenalkan kemudahan pelengkap seperti hotel, kawasan runcit dan komersial, pusat pemulihan dan kesihatan, pusat penjagaan warga emas, asrama serta unit kediaman.

“Pembangunan baharu Hospital Putra ini mewakili pencapaian penting dalam perjalanan Melaka menjadi destinasi utama yang menawarkan perkhidmatan pelancongan perubatan dan penjagaan kesihatan di rantau ini,” katanya menerusi kenyataan di laman media sosial rasmi miliknya, hari ini.

Whatsapp Image 2025 01 24 At 5.29.36 Pm
PENGERUSI MRCB Land Sdn Bhd, Tan Sri Mohd Annuar Zaini menyampaikan cenderamata penghargaan kepada Ab Rauf selepas selesai majlis pemeteraian perjanjian usaha sama tersebut.

Terdahulu Ketua Menteri hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama dan Pemegang Saham Bagi Pembangunan Hospital Putra 2 di antara MRCB Land Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Malaysian Resources Corporation (MRCB); PM Multilink Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh MCORP dan Majestic Quest Sdn Bhd yang berlangsung di sebuah hotel, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Saiful Hazwa Kipli dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Khairul Azreem Mamat.

Pada majlis itu MRCB Land Sdn Bhd diwakili oleh Pengerusinya, Tan Sri Mohd Annuar Zaini; MCORP diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Yusof Abu Bakar; PM Multilink Sdn Bhd diwakili oleh Ahli Lembaga Pengarahnya, Mohd Nazimuddin Mohamad; dan Majestic Quest Sdn Bhd, diwakili oleh Pengerusinya, Kwan Joon Hoe.

Whatsapp Image 2025 01 24 At 5.29.55 Pm
PEMBANGUNAN Hospital Putra 2 bakal meliputi kawasan seluas 3.23749 hektar, akan merangkumi kemudahan termasuk pusat kecemerlangan khusus untuk perkhidmatan Jantung dan Ortopedik, di samping menyediakan 300 katil, 100 suite perunding, perkhidmatan sokongan makmal dan patologi. SUMBER LAKARAN MCORP

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Datuk Imran Salim berkata pihaknya komited memenuhi keperluan penjagaan kesihatan awam serta menyumbang kepada ekonomi negeri.

“Usahasama ini mencerminkan komitmen MRCB untuk memenuhi keperluan penjagaan kesihatan awam yang semakin meningkat di samping menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan Melaka.

“Hospital Putra bukan sahaja akan menyediakan rawatan perubatan yang canggih, tetapi juga mencipta peluang untuk pendidikan, penyelidikan dan pembangunan ekonomi,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

130
Kongsi :
Previous post KANAK-KANAK MAUT, LIMA CEDERA PARAH DALAM KEMALANGAN DI MARAN
Next post KABINET SETUJU PENGURANGAN TOL 50 PERATUS SEMPENA TAHUN BAHARU CINA – NANTA
Ubah saiz-+=