MPP UiTM desak tindakan dikenakan pensyarah hina pelajar B40

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

SHAH ALAM 30 Mac – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Se-Malaysia menyelar tindakan seorang pensyarah yang didakwa menghina pelajar golongan B40 dalam sebuah video tular semalam.

Yang Dipertuanya, Rasydan Mohd Hassan berkata, kelakuan pensyarah wanita berkenaan disifatkan tindakan luar norma dan tidak beretika terhadap seorang mahasiswa.

“Sejarah UiTM dibina atas dasar untuk membantu lebih ramai mahasiswa Melayu dan Bumiputera untuk mendapatkan pendidikan di peringkat tertinggi.

“Kenyataan menghina dan memperlekeh golongan B40 adalah tidak wajar dibuat oleh mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, katanya dia mewakili seluruh warga MPP UiTM mendesak pengurusan tertinggi universiti membuat siasatan dan mengambil tindakan kerana pensyarah berkenaan merosakkan imej universiti.

Jelasnya, pendidik tersebut sepatutnya memahami keadaan negara yang sedang berhadapan dengan situasi pandemik yang menyebabkan hampir semua rakyat di Malaysia berhadapan dengan keadaan ekonomi tidak stabil.

“Manifestasi yang sering disuarakan pihak pengurusan universiti bahawa mahasiswa adalah tonggak universiti perlu dizahirkan dengan mengambil tindakan tegas kepada pensyarah tersebut.

“Dan (tindakan tegas) juga kepada mana-mana individu yang membuat kelakuan sama selepas ini.

Satu video berdurasi satu minit 46 saat tular di media sosial sejak semalam memaparkan seorang pensyarah wanita memarahi pelajar lelakinya berikutan tidak mempunyai komputer, sebaliknya menggunakan telefon pintar dalam kelasnya.

Susulan kejadian itu, laman Facebook rasmi milik UiTM menjadi sasaran warga maya melepaskan kemarahan susulan tular rakaman video pensyarah berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1359
Kongsi :
Previous post KRT perlu aktif anjur aktiviti berfaedah untuk penduduk
Next post UiTM diminta beri penjelasan video tular
Ubah saiz-+=