MPJ RANGKA TUJUH PROGRAM UNTUK WARGA JASIN BAGI TAHUN 2025
JASIN 17 Disember – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) merangka tujuh program menarik khas untuk warga Jasin bersempena sambutan ulang tahun perbandaran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu yang ke-18 pada tahun hadapan.
Yang Dipertuanya, Mohd Shaiful Hizam Johan berkata program dirangka bakal melibatkan penyertaan kakitangan MPJdan seluruh warga Jasin seperti majlis bacaan Yasin dan doa selamat sempena Sambutan Ulang Tahun Perbandaran Jasin dan Tahun Baharu 2025 pada 3 Januari 2025 di Surau Al- Mutaqqin MPJ.
“Bagi menarik penyertaan penduduk sekitar daerah ini, kami juga akan menganjurkan kejohanan bola sepak veteran merebut piala YDP MPJ pada 4 januari 2025 di Stadium Jasin, kejohanan golf tertutup piala Yang Dipertua Majlis MPJ (11 januari 2025) di Jasin Heritage Golf Club (JHGC) dan program derma darah (15 januari 2025) di Lobi Utama MPJ.
“Sementara itu bagi merakyatkan MPJ kami juga akan menganjurkan hari mesra MPJ pada 18 Januari di Dataran DVA MPJ dengan pelbagai pengisian menarik seperti pertandingan karom Piala YDP pada 25 jan 2025 di Dewan MPJ Datuk Haji Ahmad Ithnin, Merlimau,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut Mohd Shaiful berkata, pihanya juga akan melaksanakan kempen pengurangan 80 peratus kompaun atau denda lewat.
Menurutnya, penganjuran program itu menjadi platform terbaik untuk menyemarakkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan warga Jasin dan warga kerja MPJ.
“Saya harap pada 2025 warga MPJ terus komited menjalankan tugas, sekali gus mengharumkan nama PBT ini hingga ke peringkat tertinggi. Malah saya juga mahu MPJ terus kekal unggul sebaris dengan PBT yang lain,” katanya.
Sementara itu MPJ mengadakan Majlis Apresiasi Kecemerlangan MPJ 2024 bagi menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada seramai 20 kakitangannya yang berlangsung di sebuah hotel di negeri ini, 13 Disember lalu.
Pada majlis sama, MPJ turut meraikan enam pesara MPJ Tahun 2024 dan penerima Anugerah Staff Cemerlang Bulanan bagi tempoh Julai hingga Ogos 2024 dan September hingga Oktober 2024.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.