Sorting by

×

MPJ PRIHATIN, SANTUNI PESARA MENJELANG AIDILFITRI

Masa Membaca:56 Saat

JASIN 19 Mac – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) menzahirkan keprihatinan terhadap bekas kakitangannya menerusi program MPJ Santuni Pesara menjelang musim perayaan.

Yang Dipertua MPJ Mohd Shaiful Hizam Johan berkata program itu bertujuan mendekati pesara MPJ serta mengeratkan silaturahim, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

“Dalam sesi kali ini, kita ziarahi seramai lapan pesara yang pernah berkhidmat dari tahun 2000 hingga 2015.

“Mereka menerima sumbangan berupa wang tunai serta kit makanan yang diharapkan dapat meringankan sedikit beban dalam persiapan menyambut Syawal.

“Selain memberikan bantuan, program ini juga bertujuan untuk memberi semangat serta menunjukkan bahawa jasa dan pengorbanan mereka tidak dilupakan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Turut hadir ziarah tersebut Setiausaha MPJ Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari dan lain-lain warga kerja MPJ.

Mengulas lanjut beliau berkata program tersebut diadakan secara berkala bagi menziarahi pesara mengikut keperluan, terutamanya mereka yang mengalami keuzuran.

“Selain itu, kunjungan ini juga bertujuan bertanya khabar serta memastikan kebajikan pesara sentiasa diberikan perhatian.

“Kita berharap usaha ini dapat memperkukuhkan hubungan antara pesara dan MPJ, selain memberikan keceriaan kepada mereka dalam menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post PINTU MASUK AYER KEROH ‘BERCAHAYA’ SAMBUT KEPULANGAN ANAK RANTAU
Next post BOMBA SELAMAT DUA BERADIK TERKUNCI DALAM KERETA