Sorting by

×

MPJ MENUJU STATUS BANDAR PINTAR 2025

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

JASIN 14 Februari – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) memfokuskan tiga inisiatif utama bagi mencapai status Bandar Pintar pada tahun ini.

Tiga inisiatif itu adalah menyediakan kios layan diri di bangunan MPJ (dua kios) dan satu kios sekitar Merlimau, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di taman-taman awam serta mewujudkan ‘command centre’ (pusat operasi MPJ).

Yang Dipertua MPJ Mohd Shaiful Hizam Johan berkata, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya satu daripada tiga inisiatif itu dapat dilaksanakan pada pertengahan tahun ini.

“MPJ sedang berusaha gigih untuk mencapai status bandar pintar tahun ini, bagi mencapai hasrat tersebut kami akan memperkenalkan kemudahan kios layan diri untuk transaksi tanpa tunai.

“Membangunkan ‘command centre’ sebagai pusat operasi setempat bandar pintar dan kemudahan CCTV di lokasi-lokasi utama sekitar Jasin yang akan diintegrasikan bagi tujuan pemantauan aspek keselamatan serta kelancaran lalu lintas.

“Semoga usaha ini dapat membantu daerah kita (Jasin) mencapai status bandar pintar dibawah kategori ‘early adopter’ pada tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Karnival ICT & Inovasi MPJ di Dewan Alamanda MPJ di sini, semalam.

Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan.

Mengulas lanjut, beliau berharap usaha untuk menuju bandar pintar tahun ini dapat direalisasikan dengan kerjasama kakitangan MPJ dan agensi terlibat.

“MPJ memang mengorak langkah untuk tahun ini, kita cuba sedaya upaya mendapatkan status tersebut dengan pelbagai usaha dilaksanakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

99
Kongsi :
Previous post ONE MEDIC BERTAM MALIM TAWAR PENJAGAAN KESIHATAN TERBAIK
Next post WRUR: WAYANG PACAK IMBAU NOSTALGIA