MPJ lelong lembu tidak dituntut

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

JASIN 22 Julai – Dua ekor lembu bakal dilelong pihak Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) kerana tidak dituntut selepas disita pihak MPJ dalam Operasi Bersepadu Sita Haiwan Ternakan Berkeliaran baru-baru ini.

Yang Dipertua MPJ Datin Sapiah Haron berkata, dua ekor lembu itu disita pada 15 Julai lalu, namun tidak dituntut oleh pemilik haiwan terbabit.

Katanya, sebelum disita haiwan ternakan itu dilihat berlegar-legar di atas jalan raya dan ada diantara haiwan tersebut yang tidur diatas jalan raya yang gelap pada waktu malam, sekali gus membahayakan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal.

“Dalam operasi yang dilakukan secara berkala ini, kita telah menyita sebanyak 30 ekor lembu dan lapan ekor kambing untuk tempoh Januari hingga 21 Julai lalu.

“Kebiasaannya pemilik-pemilik haiwan ternakan ini akan menuntut dan jika lebih dari tempoh lima hari tidak dituntut, haiwan-haiwan ini akan dilelong mengikut saiz serta ambil kira kos jagaan dan makanan.

“Operasi ini merupakan mesej jelas dari kami pihak berkuasa untuk semua penternak lebih bertanggungjawab terhadap haiwan ternakan yang merayau sehingga menimbulkan kacau ganggu pengguna,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Sapiah berkata, setakat ini pihaknya telah mengesan tiga kawasan hotspot haiwan berkeliaran yang sering membahayakan pengguna jalan raya dalam daerah Jasin.

“Yang lebih membahayakan apabila lembu atau kambing (haiwan peliharaan) ini berkeliaraan dan ‘melepak’ tengah jalan di kawasan-kawasan yang tiada lampu jalan atau gelap sehingga membahayakan pengguna.

“Operasi bersepadu ini kita akan teruskan dari semasa ke semasa berpandukan aduan orang awam serta risikan dari pihak MPJ.

“Saya nasihatkan kepada semua penternak sekali lagi, jangan bersikap lepas tangan, pihak MPJ tidak akan kompromi,” katanya.

Tambah Sapiah, penternak yang didapati bersalah akan dikompaun RM1,000 bagi setiap haiwan ternakan seperti yang termaktub di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, Undang-Undang Kecil Pelesenan Haiwan Ternakan (MPJ) 2012.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2299
Kongsi :
Previous post Projek PPR Klebang di fasa akhir, siap Dis 2023
Next post Ambil peluang sebelum harga rumah naik – KM
Ubah saiz-+=