
MPJ KOMPAUN LORI SAWIT GUNA JALAN TAMAN TANPA KEBENARAN
JASIN 18 April – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) mengenakan kompaun kepada pemilik lori sawit yang menggunakan laluan taman perumahan.
Setiausaha Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, pihaknya bertindak mengikut aduan penduduk di Taman Jasin Height.
Katanya, notis dan kompaun bernilai RM250 telah dikeluarkan kepada pemilik lori sawit tersebut di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Taman MPJ 2011 kerana menggunakan laluan taman perumahan tanpa kebenaran MPJ.
“Unit Aduan Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan MPJ telah menjalankan pemantauan dan siasatan aduan awam berkaitan kenderaan berat menggunakan laluan taman perumahan di Taman Jasin Heights yang dikhuatiri boleh mengundang kepada pelbagai risiko.
“Satu notis dan kompaun telah dikeluarkan keatas pemilik lori sawit kerana menggunakan laluan taman tanpa kebenaran MPJ,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Zahiruddin berkata MPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan dan mengundang risiko kepada orang awam.
“MPJ juga akan melaksanakan pemantauan susulan bagi mengekang kemasukan kenderaan berat dalam kawasan taman perumahan dalam kawasan pentadbirannya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.