MPJ komited berikan perkhidmatan terbaik, rancakkan pembangunan
JASIN 3 Januari – Bukan hanya akan terus menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan malah Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) turut memfokuskan lebih banyak pembangunan di daerah di sepanjang 2023.
Yang Dipertuanya, Datin Sapiah Haron berkata sebagai sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah pasti teras utama adalah menyedia dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan namun begitu pembangunan yang pesat juga perlu diberi perhatian.
Katanya, untuk tahun ini pihaknya memfokuskan kepada pembangunan namun perkara yang menjadi keutamaan adalah memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan.
“Seterusnya kita akan memberi perhatian kepada pembangunan dan menggalakkan lebih ramai pelabur datang sekaligus bangunkan pembangunan di Jasin.
“Sekarang ini semua sedia maklum pembangunan di Jasin sedang giat antaranya projek perumahan,” katanya.
Menurut beliau, jalan negeri baharu dari Tol Lipat Kajang yang menghubungkan Jasin Bestari yang akan siap dalam tempoh terdekat ini, akan menyumbangkan kepada pembangunan selain merancakkan lagi kedatangan pelancong dari luar ke daerah itu.
“Salah satunya yang kita nampak pembangunan akan membangun lagi apabila jalan dari Tol Lipat Kajang ke Jasin Bestari akan siap awal tahun ini. Ia memendekkan masa perjalanan dari 30 minit sebelum ini ke 10 minit.
“Apabila ianya menjadi laluan nanti sudah pasti kiri dan kanannya akan ada pembangunan sama ada oleh pemilik tanah mahupun pemaju.
“Selain itu, dengan masa yang singkat sudah pasti pelancong juga akan ramai masuk ke Jasin dan ini sudah pasti akan memeriahkan lagi ekonomi penduduk setempat,” katanya.
Ujar Sapiah lagi, dalam kedatangan pelancong, kerja naik taraf kawasan pelancongan dan infrastruktur juga giat dijalankan bagi memberi keselesaan kepada orang ramai.
“Kawasan pelancongan dalam bandar Jasin juga sedang dinaik taraf termasuklah medan selera begitu juga dengan infrastruktur dan fasiliti yang lain kerana kita tahu bandar Jasin ini sudah lama jadi banyak yang rosak dan perlu kerja pembaikan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.