MPJ kenal pasti pokok berbahaya, berisiko
JASIN 16 Mei – Sejumlah RM750,000 diperuntukkan bagi kerja-kerja pemangkasan dan menebang pokok berisiko sepanjang laluan utama serta sekitar taman-taman perumahan di daerah Jasin
Setiausaha Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, pihaknya kerap turun padang bagi melaksanakan pemantauan terhadap pokok di lokasi dikenal pasti berisiko tinggi.
Muhammad Zahiruddin berkata, aktiviti pemantauan lapangan dilakukan setiap hari oleh pegawai MPJ, manakala kerja-kerja penyelenggaraan pula dilaksanakan secara berperingkat.
“Jika kami terima aduan daripada orang awam atau ahli majlis, pegawai MPJ akan turun padang bagi melakukan siasatan seterusnya mengambil tindakan susulan yang perlu dalam kadar segera.
“Keselamatan orang awam adalah keutamaan kami, jadi tindakan segera diambil jika benar pokok berkenaan berisiko,” katanya kepada Melaka Hari Ini
Jelasnya, setakat ini MPJ belum mewujudkan sebarang jawatankuasa khusus bagi membincangkan isu-isu berkaitan pokok berisiko dalam kawasan pertadbirannya.
“Bagaimanapun isu aduan tentang pokok berisiko ini akan dibawa dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancang, Pembangunan, Landskap dan Perkhidmatan Bandar serta Mesyuarat Pengurusan Aduan Awam MPJ secara berkala,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.