MPJ buka tujuh Pasar Ramadan tahun ini – Sapiah

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

AYER KEROH 17 Mac – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) membuka tujuh Pasar Ramadan di bawah kawasan pentadbirannya bermula 1 Ramadan.

Yang Dipertuanya, Datin Sapiah Haron berkata ia melibatkan seramai 290 peniaga yang mana 60 peniaga di Bandar Baru Merlimau, Bandar Jasin Bestari (60), tapak letak kereta Stadium Jasin (50) dan tapak Pasar Malam Nyalas, Pekan Nyalas (15 peniaga).

Katanya Pasar Ramadan juga dibuka di R&R Sungai Rambai Arah Selatan membabitkan 50 peniaga, Pekan Selandar 20 peniaga dan Taman Bukit Serkam seramai 35 peniaga.

“Tahun lalu kita buka sembilan Pasar Ramadan tapi tahun ini hanya tujuh saja kerana dua lagi tidak mendapat sambutan dan ramai peniaga tidak melalui penganjur.

“Ada yang berniaga di depan atau berhampiran rumah mereka setiap hari, setakat ini tiada masalah untuk mereka berniaga cuma perlu ada lesen dan jaga keselamatan diri,” katanya.

Menurutnya, setakat ini prosedur operasi standard (SOP) di Pasar Ramadan masih diteruskan seperti sebelum ini yang mana perlu memastikan penjarakan dua meter antara peniaga.

“SOP sama seperti dulu, ada penjarakan dua meter antara khemah peniaga, kita masih buat pintu masuk dan keluar, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) juga akan menjaga setiap pintu masuk untuk pastikan pengunjung imbas Kod QR,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

991
Kongsi :
Previous post Lulu cadang labur RM420 juta di Melaka
Next post KPWKM siasat kes penderaan bayi di Teluk Intan dan Gelugor – Rina
Ubah saiz-+=