MPJ ‘beli’ tikus RM3 seekor
JASIN 14 Julai – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) menawarkan pembelian RM3 bagi setiap ekor tikus yang berjaya ditangkap dan dihantar kepada pihaknya dalam usaha memusnahkan habitat haiwan perosak itu.
Yang Dipertuanya Datin Sapiah Haron berkata, inisiatif itu ditawarkan pihaknya sepanjang berlangsungnya Kempen Membasmi Tikus bermula Mei hingga Ogos depan.
Beliau berkata, kempen itu bukan hanya terbuka kepada pengusaha premis makanan sebaliknya pemilik kediaman.
“Bayaran RM3 itu merupakan sebagai tanda penghargaan dalam usaha menangkap tikus kerana kita tahu untuk tangkap haiwan ini bukan mudah, jika diletakkan perangkap belum tentu berhasil.
“Umumnya tahu tikus ini bahaya, mudah sebarkan virus dan kuman, jadi di MPJ kita mahu hapuskan haiwan perosak ini,” katanya.
Menurutnya, sehingga kini maklum balas diterima daripada pengusaha premis serta orang awam amat menggalakkan.
“Mereka yang berjaya tangkap tikus sama ada hidup atau mati bawa sahaja ke MPJ setiap hari dari jam 9 pagi hingga 4 petang, kita akan bayar RM3.
“Kita tiada had dan MPJ memang ada peruntukan untuk kempen ini. Selepas ini kita boleh lihat berapa banyak tikus yang terdapat di daerah Jasin ini,” katanya.
Sapiah berkata, Kempen Membasmi Tikus pertama kali diadakan pihaknya dan berbeza dengan kempen yang pernah dianjurkan sebelum ini.
“Sebelum ini seperti Kempen Hapuskan Lalat, Tikus, Lipas kita sediakan peralatan pembersihan tetapi kali ini kita bagi inisiatif wang tunai,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.