MPI mahu yayasan bantu pengamal media disegerakan
KUALA LUMPUR 10 Mac. – Penubuhan sebuah yayasan bertujuan menjaga kebajikan wartawan/pengamal media di negara ini terutamanya mereka yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19 perlu disegerakan.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Dr Chamil Wariya berkata, ia kerana cadangan yang diumumkan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin itu bakal membantu seramai 3,000 pengamal media yang hilang pekerjaan akibat gangguan digital dan COVID-19 sejak dua hingga tiga tahun lalu.
“Kerajaan juga perlu memberikan peruntukan secukupnya bagi memastikan yayasan ini berfungsi dengan lebih berkesan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Selain daripada penubuhan yayasan tersebut, MPI juga memohon kerajaan untuk menyediakan pakej rangsangan bagi membantu organisasi media yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Ini katanya penting kerana jika tidak dibantu lebih ramai lagi pengamal media akan kehilangan pekerjaan malah ada entiti media terpaksa menghentikan operasinya.
MPI turut mencadangkan pakej rangsangan tersebut boleh berbentuk pengurangan cukai korporat, pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dikenakan terhadap produk media dan pembelian ruang iklan secara agresif oleh kerajaan untuk menyebarkan mesej kepada khalayak menerusi media.
“Pakej rangsangan ini penting untuk memastikan media di negara ini kekal sihat dari segi ekonomi dan kewangan bagi membolehkan mereka memainkan peranan sebagai penyedia maklumat yang sahih dalam memerangi berita palsu,” katanya.
MPI juga menyokong cadangan Kelab Akhbar Kebangsaan yang mencadangkan supaya pengamal media diberi keutamaan mendapatkan suntikan vaksinasi COVID-19 kerana terdedah kepada risiko jangkitan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.