![Whatsapp Image 2025 02 06 At 19.35.13](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2025/02/WhatsApp-Image-2025-02-06-at-19.35.13.jpeg?v=1738842769)
MPHTJ TAWAR DISKAUN KOMPAUN 80 PERATUS SEMPENA W.R.U.R PENGKALAN BATU
PENGKALAN BATU 7 Februari – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menganjurkan pelbagai aktiviti bagi memeriahkan Program Komuniti Hang Tuah Jaya sempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu pada 10 hingga 23 Februari ini.
Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron berkata, antara program tumpuan yang diadakan adalah Kempen Pengurangan Kompaun 80 peratus untuk tempoh dua minggu pelaksanaan program W.R.U.R terbabit.
Katanya, aktiviti lain adalah program Back To School pada 10 Februari bermula 2 petang hingga 5 petang di Kompleks Japerun Pengkalan Batu.
“Seterusnya, MPHTJ turut menganjurkan Bengkel Penanaman, Penjagaan Bunga Ros dan Pokok Limau Kasturi pada 13 Februari bermula jam 9 pagi hingga 11 pagi bertempat di Balai Raya Taman Bachang Baru.
“Gotong-Royong Perdana pula akan diadakan pada 14 Februari bermula jam 3 petang di Kampung Pengkalan Batu, manakala pada 18 Februari bermula jam 10 pagi pula MPHTJ akan jalankan Program Gotong- Royong Pembaikan Alatan Permainan Hang Tuah Jaya di Taman Akasia,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Sapiah berkata warga DUN Pengkalan Batu dipelawa memeriahkan pelbagai aktiviti yang dirancang bersempena W.R.U.R itu.
“Kita harap masyarakat setempat ambil peluang memeriahkan pelbagai aktiviti yang akan dilaksanakan yang sudah pasti bakal memberi manfaat kepada penduduk setempat,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.