Sorting by

×

MPHTJ sedia bantu peniaga daftar suntikan vaksin COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 12 Mac – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) tidak mengenakan syarat kepada peniaga yang ingin memperbaharui atau memohon lesen perniagaan supaya berdaftar sebagai penerima vaksin COVID-19, setakat ini.

Yang Dipertuanya, Datuk Shadan Othman berkata, bagaimanapun pihaknya menyambut baik cadangan itu yang diutarakan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan akan memikirkan kaedah selanjutnya bagi pelaksanaannya di masa akan datang.

“Setakat hari ini memang kita tidak kenakan syarat daftar ambil vaksin itu untuk mohon dan perbaharui lesen perniagaan. Yang pasti kita kenakan syarat kalau peniaga makanan perlu ambil suntikan tifoid,” katanya kepada MHI.

Jelasnya, cadangan Ketua Menteri itu untuk mengelakkan pandemik COVID-19 daripada terus tersebar.

“Mungkin kita di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh memikirkan kaedah itu juga sebab daftar vaksin tidak susah hanya melalui aplikasi MySejahtera.

“Jadi semasa mereka (peniaga) nak mohon lesen, sekiranya dia belum mendaftar vaksin kita akan ajar dan bantu daftarkan vaksin COVID-19,” katanya lagi.

Semalam Sulaiman mencadangkan peniaga yang ingin memperbaharui atau memohon lesen perniagaan daripada PBT perlu berdaftar sebagai penerima vaksin COVID-19.

Beliau berkata, perkara itu telah diputuskan dalam Mesyuarat Mingguan EXCO yang dipengerusikannya dan Unit Kerajaan Tempatan (UKT), Jabatan Ketua Menteri Melaka sedang mengkaji cadangan untuk meletakkan syarat vaksinasi COVID-19 dalam pengeluaran lesen perniagaan oleh PBT pada masa hadapan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

648
Kongsi :
Previous post Lelaki ditahan bantu siasatan penganggur dibakar
Next post Perbadanan Bioteknologi Melaka agih 9 juta pelitup muka dan ‘sanitizer’
Ubah saiz-+=