MPHTJ rangka taktik tarik pelancong ke Ayer Keroh

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 27 Nov. – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) merancakkan pelbagai aktiviti di kawasan Ayer Keroh sebagai strategi untuk menyemarakkan industri pelancongan di negeri ini menjelang tahun hadapan.

Yang Dipertuanya Datuk Shadan Othman berkata, inisiatif yang dijalankan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu adalah bagi menyokong usaha kerajaan untuk menarik kedatangan pelancong selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada penghujung tahun ini.

Katanya, menerusi Rancangan Kawasan Khas Pelancongan membuktikan pelancong domestik yang datang ke negeri ini banyak menghabiskan masa di Ayer Keroh.

“Justeru itu, kita sedang giatkan pelbagai aktiviti terutamanya di Zoo Melaka dengan penganjuran Dinasour World pada Januari tahun hadapan yang menjadi pertunjukan terbesar di Asia.

“Kita juga dalam rancangan untuk membangunkan International Bird Show dalam Zoo Melaka yang dijangka menjadi tarikan untuk pelancong mengunjungi taman rekreasi tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan gimik memusnahkan iklan along atau ceti haram di Kompleks Melaka Raya di sini.

Mengulas lanjut, Shadan berkata, pihaknya turut giat meningkatkan kebersihan dan keceriaan termasuk menaik taraf landskap serta pencahayaan di kawasan itu.

“Buat masa ini kerja naik taraf yang menelan kos kira-kira RM500,000 sedang giat dijalankan dan dijangka siap pada Disember ini.

“Saya yakin dengan pelbagai usaha selain naik taraf yang kita lakukan akan membantu menyemarakkan lagi kedatangan pelancong ke Melaka,” katanya.

Views:

1171
Kongsi :
Previous post Mengaku tak bersalah sebabkan kematian kawan
Next post i-Sinar: Rakyat gembira skop diperluas
Ubah saiz-+=