
MPHTJ RANGKA PELBAGAI AKTIVITI KEROHANIAN SEPANJANG RAMADAN
AYER KEROH 27 Februari – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) bakal melaksanakan pelbagai aktiviti kerohanian sepanjang bulan Ramadan ini.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datin Sapiah Haron berkata, pelbagai program dengan kerjasama agensi, jabatan dan pihak swasta telah direncanakan bagi mengimarah bulan mulia umat Islam itu.
Katanya, antaranya adalah Program Masih Ada Yang Sayang yang mana MPHTJ akan menyampaikan sumbangan keperluan Hari Raya Aidilfitri kepada 60 kanak-kanak dalam kalangan keluarga kurang berkemampuan.
“Selain itu, Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) turut tidak dilupakan, agihan bubur lambuk, majlis berbuka puasa, sumbangan kuih raya serta pelbagai lagi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Sapiah berkata pihaknya akan turut akan mengadakan program ziarah kasih bagi menyantuni golongan tidak berkemampuan pada Ramadan ini.
Jelasnya, pihaknya turut bercadang untuk membuat Majlis Berbuka Puasa Perdana secara besar-besaran di Dataran Sejarah Ayer Keroh.
“Kita bercadang untuk mengajak orang ramai menjadikan Dataran Sejarah Ayer Keroh sebagai antara lokasi santai untuk berbuka bersama-sama di negeri ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.