MPHTJ naik taraf 12 kawasan lapang

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 26 Julai – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya mewajah beberapa kawasan lapang dalam kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu untuk dinaik taraf.

Yang Dipertua MPHTJ Datin Sapiah Haron berkata, kerja naik taraf itu merupakan antara projek Jabatan Landskap MPHTJ menerusi peruntukan daripada dua buah kementerian.

Jelas beliau, peruntukan pertama adalah berjumlah kira-kira RM500,000 di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Landskap Negara bagi menaik taraf kawasan lapang di Taman Sutera Wangi dan Taman Mas Merah Jaya.

“Selain itu, MPHTJ turut menerima peruntukan daripada Kementerian Ekonomi bernilai RM4 juta bagi menaik taraf 10 lagi kawasan lapang.

“Ia membabitkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, Kesidang, Bukit Katil, Bemban, Pengkalan Batu dan Durian Tunggal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran MPHTJ Bilangan 7 anjuran Jabatan Landskap dan Kesihatan Persekitaran di Taman Botanikal Ayer Keroh, di sini, baru-baru ini.

Tambah Sapiah, selain landskap, MPHTJ turut menerima peruntukan daripada KPKT bagi melaksanakan Kempen Kesihatan Persekitaran 2024.

Menurut beliau, setakat ini, sebanyak dua kempen telah dijalankan iaitu Kempen Cegah Wabak Denggi di Taman Datuk Tamby Chik Karim pada 29 Jun lalu dan Kempen Premis Makanan Bersih di Medan Selera Melaka Baru.

“Saya juga turut dimaklumkan Jabatan Kesihatan Persekitaran MPHTJ telah melaksanakan ‘Pilot Project’ memantapkan pengurusan sisa kitar semula melibatkan 16 buah rumah terpilih di Jalan Jasa Merdeka 25, Taman Merdeka.

“Kesemua rumah terlibat telah diberikan tong sampah beroda 120 liter secara percuma bagi membolehkan setiap pemilik rumah menggerakkan aktiviti kitar semula lebih efisien dan membantu mengurangkan barangan kitar semula terkumpul dalam rumah yang boleh mengundang kepada pembiakan nyamuk aedes,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

803
Kongsi :
Previous post Harap Hari Bertemu Rakyat diteruskan
Next post JDI lulus pelan pemajuan projek dalam 29 hari
Ubah saiz-+=