
MPHTJ mohon selesaikan bayaran cukai pintu, tunggakan
AYER KEROH 7 Julai – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) merekodkan tunggakan cukai taksiran harta keseluruhan berjumlah RM16 juta bagi tempoh Januari sehingga 15 Jun tahun ini.
Yang Dipertuanya, Datin Sapiah Haron berkata, berdasarkan rekod semasa, masih ramai yang belum menjelaskan bayaran cukai pintu dan tunggakan mereka bagi separuh tahun pertama 2023.
“Saya berharap mana-mana pembayar cukai yang ada masalah aduan belum diselesaikan kemukakan kepada pihak kami (MPHTJ) untuk kita selesaikannya.
“Sekiranya pembayar menjelaskan keseluruhan tunggakan dan cukai semasa pada tahun 2023 ini, pengecualian notis lewat adalah 100 peratus, jadi silalah bayar bagi mendapatkan inisiatif ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Mesra Tunggakan Hasil MPHTJ di Japerun Bukit Katil di sini, baru-baru ini.
Tambahnya, sebagai kerajaan tempatan, dasar Kerajaan Negeri dan Persekutuan untuk memastikan segala bentuk keperluan perkhidmatan melibatkan masyarakat sentiasa diambil perhatian.
“Justeru itu, program sebegini secara tidak langsung memberi peluang kepada rakyat untuk bersemuka dan mengenali lebih dekat pemimpin mereka, sekali gus mencari jalan penyelesaian jika ada masalah belum diselesaikan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.