Sorting by

×

MPHTJ LANTIK 42 WARDEN TRAFIK

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

AYER KEROH 6 Mac – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) melantik seramai 42 warden trafik bagi memperketat penguatkuasaan peraturan lalu lintas di kawasan pentadbirannya.

Yang Dipertua MPHTJ Datin Sapiah Haron berkata, pelantikan itu melibatkan pegawai dan anggota jabatan penguatkuasaan yang diberikan kuasa di bawah Sub Seksyen 3(4B) Akta 333, Akta Pengangkutan Jalan 1987, melibatkan kesalahan peraturan lalu lintas.

“Warden trafik ini diberikan kuasa tambahan bagi mengambil tindakan lebih tegas terhadap pesalah lalu lintas, termasuk mengenakan kompaun serta menunda kenderaan yang menghalang laluan.

“Langkah ini diambil bagi menyelesaikan aduan awam seperti kesesakan lalu lintas yang berpunca daripada parkir di kawasan larangan, penyalahgunaan laluan khas serta pelbagai kesalahan jalan raya lain.

“Justeru, warden trafik ini secara rasminya telah memulakan tugas berkuat kuasa pada 28 Februari 2025 yang lalu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Sapiah berkata sebanyak dua unit motosikal melibatkan tiga anggota telah diberi kuasa dan akan menyertai Kursus Warden Trafik Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Melaka.

“Kursus ini merupakan anjuran Unit Kerajaan Tempatan (UKT) Jabatan Ketua Menteri Melaka pada 28 hingga 30 Mei 2025 di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Unit ini berperanan untuk memantau kenderaan yang ditempatkan di bahu jalan, memindahkan kenderaan dan mengambil tindakan terhadap kesalahan berkaitan lalu lintas,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post ‘SYURGA’ KUIH RAYA RM10 DI KAMPUNG GANGSA
Next post 34 KAWASAN DINAIKI AIR, TIGA PPS DIBUKA DI MELAKA