Sorting by

×

MPHTJ kibar 3,000 Jalur Gemilang

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

AYER KEROH 8 Ogos – Bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) memasang 3,000 helai Jalur Gemilang di sekitar kawasan pentadbirannya.

Yang Dipertuanya Datin Sapiah Haron berkata, Jalur Gemilang turut dipasang di bangunan MPHTJ dan beberapa laluan utama.

Sapiah berkata, perkara itu selaras dengan saranan Kerajaan Negeri yang menggalakkan pemilik premis menceriakan bangunan masing-masing dengan kibaran Jalur Gemilang.

“Sejak 8 Julai lagi kami sudah edarkan 7,000 notis kepada pemilik premis perniagaan untuk mengajak mereka bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang di bangunan masing-masing.

“Namun dalam keterujaan menyambut hari kebangsaan nanti, orang ramai diingatkan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan ketika memasang Jalur Gemilang. Selain itu perhatian juga perlu diberikan agar tidak berlaku kejadian tersalah pasang bendera,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, berdasarkan pemantauan setakat ini semakin ramai pemilik premis yang mula mengibarkan Jalur Gemilang, sekali gus menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kemerdekaan.

Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, ketika merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023, pada Sabtu mengumumkan Anugerah Semarak Gemilang bertujuan menggalakkan individu atau organisasi pemilik bangunan mengibarkan Jalur Gemilang.

Ketua Menteri berkata, anugerah menawarkan wang tunai RM3,000 itu bukan pertandingan sebaliknya lebih kepada menghargai mereka bersungguh-sungguh menceriakan bangunan masing-masing.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

965
Kongsi :
Previous post Ibu dan teman lelaki didakwa aniaya anak empat tahun
Next post Perintah Khidmat Masyarakat peluang untuk berubah
Ubah saiz-+=