Sorting by

×

MPHTJ kawal pintu laluan Pasar Borong di Batu Berendam sempena Aidilfitri

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

KESIDANG 5 Mei. – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) akan mengetatkan kawalan di Pasar Borong MPHTJ Batu Berendam bermula 10 hingga 12 Mei bagi menghadkan kemasukan orang ramai berpusu-pusu membeli keperluan Aidilfitri.

Tindakan itu bagi mengekang penularan COVID-19 yang semakin menunjukkan trend peningkatan dalam tempoh beberapa hari ini dan dikhuatiri akan terus meningkat menjelang musim perayaan akibat kealpaan orang ramai untuk mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) termasuk penjarakan sosial.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman berkata, hanya dua pintu utama dibuka bagi keluar masuk pengunjung manakala 10 pintu lain akan ditutup kepada laluan orang ramai.

Katanya, sekurang-kurangnya lima anggota penguat kuasa MHPTJ akan ditempatkan di kedua-dua pintu laluan itu bagi mengawal aktiviti keluar masuk pengunjung termasuk memastikan orang ramai mendaftar masuk menerusi MySejahtera dan menjalani pemeriksaan suhu selain memakai pelitup muka.

“Kita akan menggunakan sistem nombor yang mana pasar borong berkenaan hanya membenarkan seramai 250 orang dalam satu masa.

“Keadaan pada ketika itu mungkin agak sukar kerana perlu beratur panjang dan sebagainya namun kita harapkan pengunjung faham dan bersabar,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak bangunan kitar semula di Pasar Borong MHPTJ Batu Berendam di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Shadan berkata, beliau turut mengingatkan peniaga serta penghantar stok barang basah dan kering supaya mematuhi masa ditetapkan.

“Waktu operasi pasar borong bagi kerja pemunggahan bermula pada jam 12 tengah malam hingga 4 pagi manakala operasi jualan kepada orang ramai bermula pada jam 6 hingga 10 pagi.

“Justeru, orang ramai yang mahu membuat persiapan hari raya supaya tidak membeli di saat-saat akhir bagi mengelakkan daripada berpusu-pusu di pasar borong itu dan tidak mengunjungi pasar secara berkumpulan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2198
Kongsi :
Previous post Songkok buatan tangan dari Duyong laris bila tiba raya
Next post Masjid terapung RM14j antara tercantik di dunia di Pulau Besar
Ubah saiz-+=