Sorting by

×

MPHTJ GEMPUR PENIAGA WARGA ASING

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 20 April – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya akan terus mempergiatkan operasi bagi membanteras peniaga warga asing yang berniaga tanpa kebenaran di bawah kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

Yang Dipertua MPHTJ Datin Sapiah Haron berkata, sejak Januari hingga April tahun ini, lebih 10 operasi telah dijalankan dan tindakan telah diambil ke atas warga asing yang menjalankan perniagaan tanpa lesen dan kebenaran.

Menurutnya, kawasan perindustrian dikenal pasti sebagai lokasi warga asing berkumpul untuk berniaga pelbagai jenis barangan, khususnya bahan mentah seperti sayur, buah-buahan, ikan dan pelbagai lagi.

“Mereka ini sering menjadikan kawasan berhampiran kilang sebagai lokasi berniaga tanpa menggunakan khemah memandangkan rata-rata pembeli mereka adalah pekerja warga asing yang bekerja di situ.

“Oleh sebab itu, MPHTJ sentiasa mempergiatkan operasi dalam usaha menggempur peniaga warga asing ini dan sitaan akan dilakukan ke atas barang jualan mereka,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri MPHTJ dan Majlis Perasmian Taman Tema Snow World di Melaka Mall, di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Sapiah berkata, selain peniaga tepi jalan, MPHTJ juga akan menjalankan operasi di kedai-kedai berhampiran kawasan perindustrian bagi memastikan tiada warga asing berniaga.

Terdahulu, pada 16 April lalu, anggota penguatkuasa MPHTJ telah mengadakan serbuan di sekitar Pangsapuri Bukit Beruang dan telah menyita pelbagai jenis buah-buahan yang dijual seorang warganegara Indonesia.

Ia merupakan antara operasi rutin dijalankan MPHTJ bagi membanteras warga asing yang berniaga tanpa lesen dan kebenaran.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1296
Kongsi :
Previous post LUAR BIASA MERIAH, LEBIH 50,000 BERAYA DENGAN KETUA MENTERI MELAKA
Next post RAPATKAN JURANG DIGITAL PENDUDUK KAMPUNG