MPHTJ fokus berikan manfaat kepada komuniti

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 15 November – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menerima penghargaan ‘Malaysia SDG Cities Network’ atas sumbangan dan inisiatif pelaksanaan pelaporan Sustainable Development Goals (SDG2030) serta pembangunan SDG Cities Roadmap di Kuching, Sarawak baru-baru ini.

Penghargaan itu daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu disampaikan oleh Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Yang Dipertuanya, Datin Sapiah Haron berkata MPHTJ antara 45 pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Malaysia yang memulakan inisiatif pelaporan SDG2030 dan ‘localizing’ SDG2030 sejak 2018.

“MPHTJ mempunyai rangka kerja pengurusan perbandaran yang menyasarkan pelaksanaan penuh SDG2030 menjelang tahun 2030 bersekali dengan agenda Perbandaran Rendah Karbon 2030.

“Pelbagai inisiatif dilaksanakan di peringkat perbandaran yang berkait dengan program SDG2030, aspek penting dalam pelaksanaan SDG2030 adalah bagaimana komuniti setempat boleh terlibat dan menerima manfaat bersama di peringkat komuniti,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Katanya, komuniti Hang Tuah Jaya mempunyai akses yang luas untuk menyampai dan menyuarakan keinginan serta apa yang dihasratkan dalam aspek pembangunan Hang Tuah Jaya.

“Contohnya, pelaksanaan sesi Focus Group Discussion (FGD) bagi Rancangan Tempatan MPHTJ selain program ‘townhall’ dan lain-lain platform hubungan dua hala antara komuniti dengan pihak majlis.

“MPHTJ turut menekankan kepada kelestarian alam sekitar dan menyeimbangkan keperluan ‘3 pillars sustainable’ iaitu ekonomi, sosial dan alam sekitar,” katanya.

Ujarnya, bagi fasa pertama pelaksanaan SDG2030 sehingga tahun 2025, MPHTJ memberi penekanan kepada lapan SDG dan fasa seterusnya sehingga 2030.

“Sasaran kita secara keseluruhan adalah ’17 goals SDG2030′ dapat diterjemahkan diperingkat lokal.

“Bagi perancangan jangka masa pendek, MPHTJ akan membentangkan ‘Volunteer Local Review (VLR) SDG2030’ kepada komuniti antarabangsa di platform High Level Political Forum (HLPF) pada Julai 2024.

“Melalui pembentangan ini komitmen dan kesungguhan di peringkat tempatan dapat diketengahkan, pada masa sama MPHTJ akan meneruskan usaha memberi kefahaman dan kesedaran kepada kelompok komuniti setempat melalui platform CEPA (communication, education & public awareness),” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1159
Kongsi :
Previous post Kaedah pendigitalan lancarkan Majlis Konvokesyen UTeM
Next post Menangis lihat landskap Banda Hilir serupa animasi Mechamato
Ubah saiz-+=