MPHTJ CEMERLANG SEBAGAI SEBUAH PASUKAN
AYER KEROH 24 Januari – Semua warga Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) diminta untuk bersama-sama menyumbang buah fikiran atau cadangan membina demi kesejahteraan rakyat dalam kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.
Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron berkata, ketika ini pihaknya memberikan penekanan terhadap aspek kecekapan dan keberkesanan dalam sistem penyampaian perkhidmatan.
Katanya, bagi mencapai agenda utama itu semua warga MPHTJ diingatkan supaya tidak mudah selesa dengan apa yang dicapai ketika ini atau mengamalkan budaya kerja lama.
“Semua warga MPHTJ perlu menyesuaikan cara bekerja dengan corak kehidupan rakyat yang ketika ini sudah banyak berubah. Kita semua memikul tanggungjawab sangat besar, tuan-tuan dan puan-puan (warga MPHTJ) adalah wakil kepada MPHTJ.
“Jadilah penjawat awam yang berdedikasi agar dapat mengharumkan nama MPHTJ di peringkat lebih tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran MPHTJ Bil 1/2025 di Kompleks Melaka Mall di sini, hari ini.
Majlis berkenaan disempurnakan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.
Jelas Sapiah kejayaan MPHTJ pada tahun 2024 adalah hasil kerjasama warga PBT itu yang sentiasa berdedikasi dan komited dalam melaksanakan tugas.
“Saya percaya setiap gerak kerja, arahan dan pencapaian tidak akan datang bergolek tanpa perancangan yang baik selain dilaksanakan secara teliti.
“Diharapkan kita dapat meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan pada tahun ini agar lebih cemerlang demi menggalas tanggungjawab sebagai penjawat awam,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.