Sorting by

×

MPHTJ CANTAS, TEBANG LEBIH 4,000 POKOK UNDANG BAHAYA

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 22 Mac – Demi memastikan persekitaran yang lebih selamat dan bersih untuk penduduk, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) terus giat melaksanakan pemantauan dan penyelenggaraan landskap serta kebersihan kawasan seliaannya.

Yang Dipertua MPHTJ Datin Sapiah Haron berkata, sepanjang tahun lalu, MPHTJ telah mengambil langkah drastik dengan menebang lebih 1,000 batang pokok yang berisiko tinggi di kawasan laluan utama.

Selain itu, kata beliau, lebih daripada 3,000 pokok turut dicantas bagi mengurangkan risiko dahan patah yang boleh membahayakan pengguna jalan raya dan penduduk setempat.

“Untuk tahun ini pula kerja-kerja cantasan sedang giat dijalankan setelah proses sebut harga diselesaikan.

“Langkah ini diambil bagi memastikan hanya pokok yang benar-benar berbahaya ditebang, manakala pokok yang masih boleh diselamatkan akan dicantas dengan rapi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Sapiah, MPHTJ memberi tumpuan bagi kerja cantasan dan tebang pokok di jalan-jalan utama dan kawasan yang kerap digunakan orang ramai.

“Dalam aspek kebersihan pula, MPHTJ telah mengarahkan pihak CMI Infra dan SWCorp untuk mengambil langkah proaktif dalam kerja pembersihan khususnya di kawasan longkang dan laluan air.

“Langkah awal ini diambil bagi mengelakkan masalah saliran tersumbat yang boleh membawa kepada banjir atau pencemaran persekitaran, terutama menjelang musim perayaan.

“Walaupun dalam musim perayaan, pihak MPHTJ tetap bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan akan terus memberikan bantuan sekiranya diperlukan,” katanya.

Tambah Sapiah, usaha itu membuktikan komitmen MPHTJ dalam memastikan kawasan seliaannya kekal bersih, selamat dan terpelihara demi kesejahteraan penduduk.

“Dengan langkah-langkah yang telah dan sedang dilaksanakan, kita harap usaha ini dapat memberikan persekitaran yang lebih selesa dan selamat kepada masyarakat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post VIDEO TULAR DI PUSAT BELI BELAH MELAKA BUKAN KES CULIK
Next post MELAKA WUJUDKAN KLUSTER ‘HOMESTAY’ BAHARU DI KAMPUNG CHINCHIN