MPC: Malaysia ke arah 10 tangga teratas dalam Indeks Daya Saing Digital Global

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

KUALA LUMPUR, 21 Feb – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) yakin Malaysia mampu mencapai peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 1.3 peratus sekiranya penambahbaikan kepada peraturan berkaitan perniagaan dilaksanakan.

Ketua Pengarah Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata inisiatif yang diperkenalkan secara digital itu tidak hanya memperkukuhkan persekitaran perniagaan melalui penyampaian peraturan berkualiti malah turut membantu melonjakkan prestasi Malaysia di tangga 10 teratas dalam Indeks Daya Saing Digital Global.

Beliau berkata kedudukan negara dalam infrastruktur teknologi menunjukkan trend menurun ke tangga 20 pada tahun 2021 berbanding pada tahun 2020 dan 2019.

“Seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), terdapat perbezaan dasar dan peraturan berkaitan dengan penyediaan infrastruktur digital di setiap negeri.

“Salah satu usaha untuk menambahbaik kedudukan petunjuk ini adalah mempercepatkan pembinaan infrastruktur digital melalui perlaksanaan sesi libat urus secara berterusan bagi meningkatkan kefahaman industri mengenai usaha kerajaan dalam menambahbaik persekitaran perniagaan terutama berkaitan dengan pembinaan infrastruktur digital di tepi lebuh raya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, kerjasama kementerian dan agensi berkaitan juga perlu dipertingkatkan bagi pengharmonian data infrastruktur yang penting dalam merangka intervensi bersesuaian untuk mengatasi isu pembinaan infrastruktur digital.

“Inisiatif ini diharap dapat memperbaiki kedudukan negara ke-10 teratas dalam infrastruktur digital menjelang 2025,” katanya.

Inisiatif berkenaan telah dibentangkan dalam Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Abdul Latif berkata MPC memberi tumpuan kepada pengurusan perubahan yang diterajui bersama MyDIGITAL Corporation dengan kerjasama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH), Nexus Produktiviti, kementerian dan agensi bagi menyokong daya saing digital negara.

Katanya teknologi dan digitalisasi merupakan faktor penting kepada pertumbuhan produktiviti yang menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.

“MPC turut menjalankan deep-dive ke atas petunjuk daya saing bagi mengenalpasti isu spesifik yang menjadi cabaran kepada daya saing negara bagi pelaksanaan penambahbaikan.

“Proses penambahbaikan ini dilaksanakan secara bersama antara sektor awam dan swasta melalui pendekatan inovasi kolaboratif,” jelas Abdul Latif.

Beliau menambah ujikaji peraturan akan dijalankan bagi meningkatkan prestasi Malaysia menerusi Indeks Daya Saing Digital Global.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

991
Kongsi :
Previous post Khemah Klinik Kesihatan Jasin rosak diterbangkan ribut
Next post HRPZ II adakan pertemuan dengan keluarga bayi meninggal dipercayai kecuaian hospital
Ubah saiz-+=