MPAG tingkat tahap kebersihan, keceriaan di Alor Gajah

Masa Membaca:59 Saat

ALOR GAJAH 13 Mei – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) memperuntukkan sebanyak RM300,000 pada tahun ini bagi melaksanakan kerja kutipan sampah ‘litter picker’ dan sapuan harian demi memastikan tahap kebersihan di daerah itu terpelihara.

Yang Dipertuanya, Tpr. Saifuddin Abdul Karim berkata, bagi mengatasi masalah sampah longgok, pihaknya mewujudkan ‘Task Force’ Sampah Longgok dengan menyediakan perkhidmatan lebih teratur kepada masyarakat setempat.

Katanya, selain itu turut diwujudkan Task Force Tandas Awam yang berfungsi memantau kebersihan tandas awam bagi meningkatkan kualiti kebersihan kemudahan awam itu sebagai persediaan awal menghadapi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“MPAG mensasarkan tiga tandas awam mencapai penarafan lima bintang,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Perbandaran MPAG ke-20 dan Sambutan Hari Raya di Dataran MPAG, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata sebanyak RM1.15 juta diperuntukkan untuk menjalankan kerja-kerja keceriaan dan pengindahan landskap di daerah itu.

“Kerja naik taraf sedang rancak dilaksanakan dengan memberi tumpuan di kawasan lapang Rumah Awam Pulau Sebang, naik taraf landskap pintu masuk Melaka di Kuala Linggi dan Bandar Masjid Tanah, kemudahan landskap alat permainan kanak-kanak serta ‘outdoor fitness’ di daerah ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2023
Kongsi :
Previous post MPAG selesai 1,328 aduan tahun lalu
Next post Kapal bersauh di zon perikanan Melaka berdepan tindakan tegas
Ubah saiz-+=