Sorting by

×

MPAG tingkat kesedaran kebersihan pasar awam

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

TABOH NANING 30 Julai – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) komited memastikan pasar awam dalam kawasan pentadbirannya kekal bersih, sejajar dengan hasrat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Justeru, Kempen Pasar Awam Bersih Peringkat MPAG telah dilancarkan bermula April hingga Julai tahun ini bagi meningkatkan kesedaran berhubung pentingnya penjagaan kebersihan persekitaran pasar awam.

Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, antara objektif utama kempen tersebut adalah meningkatkan tahap kecekapan pengurusan program kebersihan pasar awam.

Selain itu, jelas beliau, ia juga bertujuan meningkatkan tahap komitmen MPAG dan peniaga dalam bersama-sama menjaga kebersihan persekitaran serta keselamatan pasar awam.

“Pada masa sama, kempen ini juga dapat membantu dalam aspek baik pulih kerosakan kecil pasar awam, selain meningkatkan lagi kecekapan pengurusan sisa pepejal.

“Diharap, kempen ini dapat meningkatkan lagi tahap kebersihan dan gred pasar awam, melindungi kesihatan orang awam daripada penyakit-penyakit bawaan makanan seperti Kolera, Tifoid, Disenteri dan Hepatitis A,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Kempen Pasar Awam Bersih Peringkat MPAG 2024 di Pasar Awam Simpang Empat, pada Ahad.

Hadir sama, Yang Dipertua MPAG TPr. Saifuddin Abdul Karim; Ketua WHIP Clr. Ghafar Ngah dan Ahli-ahli Majlis MPAG; Setiausaha Radzyma Mahat dan Ketua-ketua jabatan MPAG.

Program tersebut melibatkan semua peniaga Pasar Awam Simpang Empat dan turut disertai Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah; Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), SWM Environment Sdn Bhd; peniaga dan pengunjung Pasar Awam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

132
Kongsi :
Previous post Pemindahan teknologi beri manfaat kepada Melaka
Next post MBMB PBT pertama laksana undang-undang kecil beca
Ubah saiz-+=