Sorting by

×

MPAG tangkap 1,081 haiwan terbiar

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

ALOR GAJAH 10 Januari – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) menangkap sebanyak 1,081 kucing dan anjing terbiar menerusi aduan awam di sekitar Alor Gajah sepanjang tahun lalu.

Yang Dipertua MPAG, TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, daripada jumlah terbabit sebanyak 210 ekor kucing dan 871 ekor anjing telah ditangkap menerusi operasi tangkapan dan pemantauan berkala yang dilakukan.

Katanya, kesemua haiwan terbiar yang ditangkap akan diletakkan di Jabatan Kesihatan Persekitaran MPAG selama tujuh hari sebelum diambil tindakan susulan.

“Bagi kucing terbiar yang tidak dituntut, ia akan diserahkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) untuk ‘rehome’ atau diserahkan kepada pemilik baharu untuk divaksin dan dikasi bagi mengawal populasi.

“Manakala untuk anjing terbiar pula, MPAG akan menangkap anjing yang didapati berkeliaran tanpa diikat atau dikurung tanpa pengawasan di luar premis kediaman sehingga menimbulkan kacau ganggu kepada orang awam.

“Untuk anjing terbiar yang tidak dituntut, ia juga akan dihantar kepada NGO manakala yang berpenyakit akan dilupuskan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) penangkapan dan pelupusan anjing terbiar melalui Jabatan Vaterinar,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pemilik anjing yang ditangkap boleh menuntutnya dalam tempoh tujuh hari di Jabatan Kesihatan MPAG, namun mereka akan dikompaun sebanyak RM250 seekor, selain boleh berdepan tindakan lebih tegas.

“Kompaun tersebut dikeluarkan di bawah Peruntukan Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing MPAG 2013.

“Sepanjang operasi tangkapan dan pemantauan berkala dilaksanakan, MPAG telah menanggung anggaran kos sebanyak RM53,000 pada tahun lalu membabitkan makanan; menambah peralatan tangkapan dan pelupusan, yang mana jumlah itu meningkat berbanding RM36,600 pada 2022,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2261
Kongsi :
Previous post Terbit buku pantun untuk rujukan generasi baharu
Next post Pusat Kecemerlangan TVET perkasa pendidikan kemahiran
Ubah saiz-+=