Sorting by

×

MPAG semarak sambutan Bulan Kebangsaan 2024

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

ALOR GAJAH 25 Julai – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) bakal menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan 2024 dengan pelbagai program dan pengisian menarik kepada orang ramai.

Yang Dipertua MPAG TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, antara program yang diadakan di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu adalah Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2024 yang diadakan di Freeport A’famosa Alor Gajah, 23 dan 24 Julai lalu.

Selain itu, menurut beliau, istimewanya tahun ini, Dataran Keris Alor Gajah bakal menjadi lokasi Majlis Pelancaran Bulan Sambutan Hari Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Melaka 2024 pada 12 Ogos depan.

“Majlis ini akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan melibatkan jemputan kepimpinan Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Pentadbiran MPAG Bagi Bulan Julai 2024 yang dihoskan Jabatan Khidmat Pengurusan dan Jabatan Perancang Bandar di Dewan Bougainvillea MPAG, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Setiausaha MPAG Radzyma Mahat, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan serta warga kerja MPAG.

Sementara itu, TPr. Saifuddin memaklumkan, MPAG juga bakal menjadi lokasi penganjuran beberapa acara sukan, antaranya, Fire X-Ride Epic Jamboree 2024 yang menampilkan kategori 100 kilometer dan 40 kilometer ‘off-road’ pada 17 Ogos depan, di Dataran Keris Alor Gajah.

“MPAG juga akan menjadi tuan rumah bagi acara karom Kejohanan Sukan Pihak Berkuasa Tempatan (MALA) Tahun 2024 yang akan berlangsung 2 dan 3 Ogos depan bertempat di Dewan Bougainvillea MPAG.

“Setakat 21 Julai lalu, kira-kira 680 peserta membabitkan 40 pasukan telah mengesahkan penyertaan bagi acara ini.

“MPAG juga akan memberi sokongan kepada pasukan karate Melaka pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024, 16 hingga 20 Ogos depan, selaku jabatan angkat yang dilantik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

481
Kongsi :
Previous post 6 harapan kepada penjawat awam Melaka
Next post Jasin Development Initiative percepat proses kelulusan projek
Ubah saiz-+=