MPAG raih kutipan cukai taksiran RM12.8 juta
TELOK MAS 21 Jun – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) merekodkan kutipan cukai taksiran berjumlah lebih RM12.8 juta setakat Januari hingga 19 Jun tahun ini.
Yang Dipertua MPAG, TPr. Saifuddin Abdul Karim memaklumkan, jumlan kutipan cukai taksiran itu sedikit meningkat berbanding tahun lalu memandangkan terdapat pertambahan hartanah baharu di dalam daerah Alor Gajah.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pembayar cukai di bawah pentadbiran MPAG kerana melunaskan tanggungjawab dalam usaha membantu pihak berkuasa tempatan itu memberi perkhidmatan terbaik dalam aspek pengurusan bandar.
“Pembayaran cukai (taksiran) ini, amat penting kerana ia akan dipulangkan kembali kepada masyarakat dari sudut pengurusan bandar seperti pengurusan sampah, penyelenggaraan rumput, lampu jalan, pembaikan infrastruktur dan lain-lain lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Sembang Santai MPAG Bersama Rakan Media Tahun 2024 di sebuah restoran ikan bakar, di sini, baru-baru ini.
Hadir sama, Pegawai Daerah Alor Gajah Sabrina Thalas; Pegawai Unit Kerajaan Tempatan Jabatan Ketua Menteri Melaka Mohd Najmi Mohd Zohdi; Ketua Whip Ahli Majlis MPAG Ghafar Ngah dan lain-lain kenamaan.
Menurut TPr. Saifuddin, sepanjang tahun ini, MPAG menyasarkan kutipan hasil berjumlah RM53 juta, yang mana ia bukan sahaja merangkumi cukai taksiran, bahkan bayaran lesen dan lain-lain.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.