Sorting by

×

MPAG perintis Perolehan Hijau

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

ALOR GAJAH 17 Januari – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) meningkatkan sasaran Perolehan Hijau kepada 100 peratus bagi lima kumpulan produk sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dilantik menjadi perintis pelaksanaan ‘Government Green Procurement’ (GGP) peringkat Negeri Melaka.

Yang Dipertua MPAG, TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata sejak dilantik pada Mac tahun lalu, MPAG menjadi PBT perintis selaras dengan Pelan Strategik MPAG 2021 hingga 2035, iaitu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan perbandaran bagi memperkasa kualiti komuniti dengan pelaksanaan Perolehan Hijau.

Katanya, indikator bagi pelaksanaan terbabit adalah sebanyak lima peratus daripada jumlah keseluruhan Perolehan Hijau tahunan.

“Perolehan Hijau ini merujuk kepada perolehan bekalan, perkhidmatan dan kerja sektor awam yang mengambil kira penggunaan bahan atau barang yang memenuhi kriteria serta standard alam sekitar atau mengurangkan kesan negatif kepada aktiviti manusia.

“Pada awalnya hanya tiga kumpulan produk yang disasarkan bagi Perolehan Hijau iaitu kertas A4, peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan pencetak serbaguna.

“Penghujung 2023, MPAG merekodkan pencapaian sasaran lima peratus dan tahun ini peningkatan disasarkan adalah 100 peratus bagi lima kumpulan produk iaitu Kertas A4, peralatan ICT, pencetak serbaguna, lampu dalaman dan penyaman udara.

“Menerusi inisiatif ini penggunaan produk terbabit dapat mengurangkan karbon emisi sebanyak 8,320 kgCO2e setahun iaitu persamaan penanaman 209 batang pokok matang,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, usaha MPAG dalam menyokong pelaksanaan Perolehan Hijau kerajaan itu telah mendapat sokongan dan panduan daripada ‘Malaysian Green Technologu and Climate Change Centre’ (MGTC).

Jelasnya, Perolehan Hijau diperkenalkan untuk meningkatkan dasar perolehan sedia ada dan berfungsi untuk mencapai penjimatan jangka panjang, mengurangkan beban bajet awam, merangsang pertumbuhan hijau dan tingkatkan daya saing industri tempatan.

“Antara manfaat Perolehan Hijau ini adalah mengukuhkan permintaan pasaran bagi barangan alam sekitar, perkhidmatan dan teknologi.

“Ia juga dapat mewujudkan kawasan baharu pasaran khusus dan pekerjaan yang menjana pendapatan tinggi, kos operasi lebih rendah akibat pengurusan cekap seterusnya menggalakkan kesihatan lebih baik dan selamat.

“Ia juga mampu meningkatkan kesedaran pengguna mengenai implikasi alam sekitar dan sosial yang berkaitan dengan pelbagai jenis pembeli,” katanya.

MPAG turut komited mencapai aspirasi untuk pembangunan hidup mampan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

992
Kongsi :
Previous post Transformasi ekosistem TVET, lahir pekerja teknikal mahir
Next post Pujukan ‘Kak Som’ bawa warga emas ke hospital
Ubah saiz-+=