Sorting by

×

MPAG MEMBUDAYAKAN AMALAN KITAR SEMULA

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

ALOR GAJAH 18 Disember – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) terus komited dalam memupuk budaya kitar semula di sekitar Alor Gajah menerusi pelbagai kempen yang diadakan.

Antara inisiatif kitar semula yang diadakan MPAG sepanjang tahun ini adalah program Kitar Semula Pandu Lalu Dataran Keris, selain kempen itu turut diperhebatkan dalam kalangan warga kerjanya.

Yang Dipertua MPAG TPr Saifuddin Abdul Karim berkata, program Kitar Semula Pandu Lalu Dataran Keris antaranya telah diadakan sebanyak dua kali pada tahun ini iaitu pada Mac dan Ogos lalu.

Jelas beliau, program itu mendapat sambutan cukup hebat daripada masyarakat sehingga berjaya mengutip keseluruhan hampir 7 tan barangan kitar semula.

“Pada edisi pertama program pada 2 Mac, jumlah kutipan yang berjaya diperoleh adalah sebanyak 3,915.81 kilogram (kg) membabitkan pelbagai barangan 3R, sisa fabrik dan minyak masak terpakai.

“Manakala pada program kedua yang diadakan 11 Ogos pula, sebanyak 2,891.5kg berjaya dikutip hasil penyertaan orang awam dan berkumpulan di mana ia selain barangan 3R, sisa fabrik dan minyak masak terpakai, sisa e-waste turut dihantar.

“Ia sekali gus menunjukkan bahawa orang ramai khususnya penduduk sekitar semakin cakna dan prihatin terhadap kelestarian alam sekitar,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut TPr Saifuddin, selain program bersama masyarakat, pihaknya turut membudayakan amalan kitar semalam dalam kalangan warga kerja menerusi Kempen Kitar Semula Warga MPAG 2024 dengan slogan ‘Kumpul-Kitar-Timbang’.

Jelas beliau, program dengan kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan SWM Environment Sdn Bhd itu telah berjaya mengumpulkan 7,595.39kg barangan kitar semula sejak Januari hingga Oktober tahun ini.

“Terima kasih dan tahniah di atas penglibatan semua staf dan jabatan atau unit dalam program ini dan diharap ia dapat dijadikan amalan dan menjadi contoh kepada orang ramai dalam membudayakan kitar semula di kediaman atau premis masing-masing.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

80
Kongsi :
Previous post 5 SEBAB KENAPA PERLU NAIK MENARA TAMING SARI
Next post KEMBIRI KUCING DI DEWAN BUKIT BERUANG PADA 27 DISEMBER INI
Ubah saiz-+=