Sorting by

×

MPAG LANCAR DUA CIPTAAN INOVASI MUDAHKAN RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

ALOR GAJAH 11 Oktober – Seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri mahu menumpukan transformasi digital, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) telah memperkenalkan dua sistem ciptaan inovasi terbaharu yang dapat memacu perkhidmatan terbaik dan memudahkan rakyat.

Dua ciptaan inovasi itu adalah sistem e-Bangunan dan e-Logistik yang dilancarkan pada Hari Kesedaran Keselamatan ICT Dan Inovasi MPAG Peringkat Daerah Alor Gajah, baru-baru ini.

Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, MPAG menjadi antara contoh agensi dan jabatan kerajaan yang mempergiatkan transformasi digital dan pada masa sama memangkin inovasi dalam perkhidmatan.

Jelas beliau, e-Bangunan yang direka Jabatan Bangunan MPAG, merupakan satu sistem yang dapat menggantikan kaedah pemprosesan permohonan secara manual kepada sistem yang lebih baik, efisien dan menjamin penyimpanan rekod yang lebih selamat, selain telah diiktiraf Jabatan Digital Negara (JDN).

Ujarnya, ia sekali gus selaras dengan matlamat MPAG dalam merealisasikan pembangunan mampan dan pintar.

“Begitu juga dengan sistem e-Logistik MPAG yang telah dicipta melalui kombinasi Jabatan Teknologi Maklumat bersama Jabatan Korporat dan Khidmat Masyarakat serta Jabatan Pengindahan Bandar.

“Dengan mengakses perkhidmatan ini, orang awam dapat membuat tempahan penggunaan dewan dan bunga hiasan secara terus secara dalam talian.

“Justeru, saya ingin mengucapkan tahniah kepada MPAG di atas ciptaan inovasi seperti yang dipamerkan di reruai (booth) dalam program ini,” katanya ketika berucap mewakili Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan pada majlis penutup program berkenaan.

Hadir sama, Setiausaha MPAG Radzyma Mahat yang mewakili Yang Dipertua MPAG TPr. Saifuddin Abdul Karim; Ketua Pegawai Eksekutif Khyrol Security Labs Sdn. Bhd. Khairol Shapawi dan lain-lain kenamaan.

Menurut Mohd Noor Helmy, pendigitalan sektor kerajaan yang sedang giat dilaksanakan menerusi beberapa inisiatif akan meletakkan kepentingan dan kehendak pengguna sebagai pertimbangan utama.

Jelas beliau, kerajaan juga ada menetapkan sasaran penting ke arah pendigitalan menyeluruh termasuk dalam sektor kerajaan.

“Antara sasaran yang diumumkan ialah mengupayakan 80 peratus perkhidmatan kerajaan secara dalam talian menjelang 2025 dan membolehkan pembayaran tanpa tunai untuk semua perkhidmatan kerajaan menjelang 2025.

“Pendigitalan sektor kerajaan juga dapat menjadi pemangkin kemunculan inovasi dan penggunaan aplikasi dalam semua sektor lain termasuk masyarakat dan perniagaan, ke arah menjayakan aspirasi kemakmuran melalui kemajuan ekonomi digital,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

103
Kongsi :
Previous post MELAKA USUL LALUAN 4 LORONG DI HUTAN SIMPAN SUNGAI UDANG
Next post PERTANDINGAN ROBOTIK GILAP MINAT PELAJAR DALAM STEM
Ubah saiz-+=