Sorting by

×

MPAG kutip RM17.15 juta cukai taksiran

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

ALOR GAJAH 20 Disember – Sejumlah RM17.15 juta cukai taksiran berjaya dikumpul Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) sepanjang Januari hingga 16 Disember tahun ini.

Yang Dipertua MPAG, Tpr. Saifuddin Abdul Karim berkata, nilai itu sekali gus membantu pihak berkuasa tempatan itu menyediakan perkhidmatan perbandaran dengan lebih sempurna kepada masyarakat di sekitar Alor Gajah.

“Hasil yang diberikan ini memberi manfaat masyarakat semula dengan perhidmatan yang disediakan MPAG seperti melaksanakan kerja-kerja pembersihan, perbandaran, pengindahan dan keceriaan, membaiki parit dan longkang serta pelbagai lagi.

“Setakat ini seramai 18,780 pembayar cukai kediaman telah menjelaskan semua cukai semasa dan tunggakan mereka sehingga 31 Ogos yang lalu.

“MPAG berhasrat untuk menjadikan Alor Gajah sebagai Bandar Lestari dan Berdaya Huni menjelang 2035 jadi pada tahun hadapan kita menyasarkan supaya kutipan cukai taksiran ini akan lebih efisien untuk kita menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan perasmiannya pada Majlis Penyampaian Hadiah Sempena Program Cabutan Insentif Cukai Taksiran MPAG Tahun 2022 di Lobi MPAG, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Terdahulu pada program diadakan itu, seramai 24 pembayar cukai menjadi individu bertuah apabila menerima hadiah yang disediakan MPAG, termasuk dua daripadanya menerima hadiah utama iaitu motosikal Modenas Kriss 110.

Dalam pada itu, Saifudin berkata, program cabutan itu diadakan secara maya di laman Facebook MPAG pada 27 Oktober lalu setelah penyertaannya ditutup 30 September lepas.

“Program yang diadakan ini adalah sebagai penghargaan kepada pembayar cukai yang membayar cukai taksiran sepenuhnya.

“Malah ini juga merupakan satu galakkan kepada pembayar cukai untuk membayar cukai taksiran lebih awal dan secara tidak langsung kaedah ini dapat meningkatkan hasil kutipan serta mengurangkan tunggakan cukai,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2066
Kongsi :
Previous post Perkeso Melaka bayar faedah hampir RM29 juta kepada pencarum
Next post 11 barangan kawalan sempena krismas
Ubah saiz-+=