
MPAG KOMITED JADI NADI PEMBANGUNAN, WADAH PERKHIDMATAN RAKYAT
ALOR GAJAH 26 April – Bagi terus memperkasa aspek penyampaian perkhidmatan awam, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) mahu setiap kakitangannya memainkan peranan aktif dengan bertindak sebagai pemangkin pembangunan serta penyambung harapan rakyat.
Yang Dipertua MPAG TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, sebagai penjawat awam warga kerja MPAG menjadi cerminan kepada aspek kecekapan pentadbiran tempatan yang berasaskan kepada nilai-nilai integriti.
“Fokus utama kita adalah memastikan segala tindakan organisasi memberi impak positif yang besar kepada kesejahteraan penduduk. MPAG terus menekankan nilai integriti, kecekapan, tanggungjawab bersama dan kualiti perkhidmatan sebagai asas utama kepada sistem pentadbiran yang diyakini serta dihormati rakyat.
“Kejayaan MPAG tidak hadir secara bersendirian, sebaliknya adalah hasil kerjasama berpasukan berpandukan kepada budaya kerja cemerlang yang telah dipupuk dalam kalangan semua jabatan serta unit di bawah pentadbiran Pihak Bekuasa Tempatan (PBT) ini,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Pentadbiran MPAG Bagi Bulan April 2025 di Dewan Bougainvilla MPAG, di sini, baru-baru ini.
TPr. Saifuddin turut menegaskan kepada semua warga kerja MPAG supaya melakukan persediaan menyeluruh bagi melancarkan perjalanan program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu dari 18 hingga 31 Mei nanti.
“Program ini dilihat sebagai salah satu platform penting untuk mendekati masyarakat dan memberikan perkhidmatan secara terus kepada komuniti setempat. Ia turut menjadi medan terbaik untuk mendengar sendiri aduan dan menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh penduduk dengan lebih efisien serta telus.
“Program seumpama ini jelas membuktikan kesungguhan PBT untuk turun padang, menyantuni rakyat, serta menjadi barisan hadapan dalam menyelesaikan masalah komuniti secara holistik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.