Sorting by

×

MPAG INGATKAN PENIAGA JAGA KEBERSIHAN

Masa Membaca:59 Saat

ALOR GAJAH 9 Mac – Peniaga di pasar Ramadan diingatkan supaya mematuhi segala arahan yang ditetapkan pihak berkuasa bagi memastikan kebersihan serta kelancaran operasi sepanjang bulan Ramadan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata justeru itu anggota penguatkuasanya sentiasa menjalankan operasi pemantauan dari semasa ke semasa.

“Semasa operasi, pihak berkuasa memberi tumpuan kepada pematuhan lesen menjaja sementara, suntikan vaksin ‘typhoid’ yang masih sah serta sijil pengendalian makanan.

“Selain itu, peniaga juga tidak dibenarkan meninggalkan peralatan perniagaan mereka selepas waktu operasi, selaras dengan syarat lesen yang ditetapkan.

“Semasa operasi kita turut menasihati peniaga agar menitikberatkan kebersihan diri dan premis perniagaan seperti pemakaian apron, jaga kebersihan kuku serta larangan memakai aksesori atau barang perhiasan di tangan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut TPr. Saifuddin berkata peniaga juga diingatkan supaya tidak membuang sisa makanan ke dalam longkang serta memastikan kawasan perniagaan sentiasa bersih.

“Bagi memastikan kebersihan makanan, tempat penghidangan perlu disusun rapi, bersih, bertutup dan bebas daripada serangga.

“Mereka yang berdegil termasuk meninggalkan peralatan perniagaan di tapak niaga selepas operasi boleh dikenakan tindakan kompaun kerana kebanyakan tapak pasar Ramadan merupakan kawasan parkir kenderaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post ‘RAMAI SAYANG SUMAYYAH’, BAPA UCAP TERIMA KASIH KEPADA PENYUMBANG
Next post DUA ANGGOTA POLIS ANTARA 55 INDIVIDU DITAHAN DI PUSAT HIBURAN