MOVAK mudahkan warga emas, pesakit komorbid terima vaksin
Nor Laila Awang, 42, yang menghadapi masalah pengangkutan berkata MOVAK telah memudahkannya membawa dan menemani ibunya Che Puan Ishak,73, yang menghidap penyakit Parkinson untuk mendapatkan suntikan vaksin dos pertama di pusat pemberian vaksin (PPV) di Pusat Kesihatan Jalan Macalister dekat George Town.
“Kalau buat macam ini (program MOVAK) memang memudahkan kami sebab ibu ada penyakit Parkinson, jadi sukar hendak bawa dia ke mana-mana, dan apabila dapat janji temu baharu di dewan ini pada awal Julai, saya berasa amat lega,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.
Che Puan yang tinggal di Kampung Masjid, Teluk Bahang, kira-kira 20 kilometer dari PPV Pusat Kesihatan Jalan Macalister adalah antara hampir 300 individu terdiri daripada warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta pesakit komorbid yang mendapat suntikan vaksin dos pertama di dewan komuniti tersebut hari ini.
Sementara itu, seorang pesakit komorbid yang mempunyai masalah kesihatan seperti darah tinggi, gout, kencing manis serta penyakit untut, Ahmad Farid Osman, 60, berkata dia tidak bimbang ataupun risau untuk mendapatkan suntikan tersebut.
“Dapat vaksin ni memang legalah…kalau boleh hendak habiskan cepat (suntikan vaksin dos kedua) sebab tidak sabar hendak jumpa anak-anak. Rindu mereka,” katanya yang tinggal seorang diri dan tidak mempunyai kenderaan.
Dalam pada itu, Anggota Parlimen Balik Pulau Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata pihaknya optimis untuk mencapai sasaran lebih 40 peratus penduduk di kawasan Balik Pulau divaksinasi menjelang akhir bulan Ogos.
“Selepas ini kita akan adakan lagi program vaksinasi bagi individu berusia 18 tahun ke atas serta menggerakkan MOVAK di kawasan luar bandar sekitar Balik Pulau dengan harapan dapat melepasi sasaran tersebut,” katanya.
MOVAK adalah inisiatif di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kementerian Perpaduan Negara (KPN) bagi membantu mempercepat program vaksinasi kebangsaan mencapai sasaran 80 peratus imuniti kelompok menjelang Oktober tahun ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.