MOU Bernama, UKM, MFD, MyAsli lahirkan jurubahasa isyarat profesional bertauliah
BANGI, 1 Jun – Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) dan Persatuan Jurubahasa Isyarat Malaysia (MyASLI) bagi menggerakkan usaha ke arah melahirkan lebih ramai jurubahasa isyarat profesional bertauliah.
Pengerusi Bernama Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata kerjasama itu membolehkan UKM, Bernama, MFD dan MyASLI menganjurkan pelbagai program khusus untuk melatih jurubahasa isyarat profesional.
“Melalui kerjasama ini, jurubahasa isyarat yang akan dihasilkan kelak akan memiliki sijil yang diiktiraf UKM,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani MoU tersebut bagi menjalankan kerjasama untuk melatih jurubahasa isyarat profesional, di sini hari ini. Turut hadir Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Roslan Ariffin.
Ras Adiba berkata MoU itu akan menjadi penyelesaian kepada isu kekurangan jurubahasa isyarat profesional dalam negara ketika ini.
Bagi merealisasikan hasrat itu, Ras Adiba berkata jurubahasa isyarat terlatih Bernama akan menjadi sebahagian daripada tenaga pengajar di UKM menerusi program khas yang akan dimulakan tidak lama lagi.
Ketika ini, katanya Bernama mempunyai kira-kira 60 jurubahasa isyarat terlatih yang merupakan ahli persatuan MFD dan MyASLI.
Naib Canselor UKM Professor Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman menyifatkan pemeteraian MoU itu sebagai laluan kepada graduan UKM khususnya golongan OKU untuk mendapat kerjaya di stesen penyiaran.
“Itu salah satu hasrat UKM sejak jalin hubungan dengan Bernama. Kita harap kerjasama seumpama ini dapat beri peluang kepada graduan UKM dalam bidang bahasa isyarat untuk berkhidmat di agensi berita nasional,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.