
MOU ANTARA AKCC, SK TUNSAS DAN UUMISM, PERKASA SUKAN GOLF MELAKA
AYER KEROH 19 April – Sebagai usaha untuk melahirkan lebih ramai pemain golf berkualiti dari Negeri Melaka, Ayer Keroh Country Club (AKCC) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama UUM International School Melaka (UUMISM) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tun Syed Ahmad Shahabuddin (SK TUNSAS).
Pengurus Besar Ayer Keroh Country Club (AKCC) Syed Mahadzir Syed Yassin berkata MoU terbabit dilihat sebagai langkah untuk melahirkan lebih ramai pelapis muda dalam sukan golf Melaka.
Katanya, Melaka suatu masa dahulu pernah menjadi antara negeri pengeluar (melahirkan) ramai pemain golf profesional negara.
“Berdasarkan ranking Malaysia pada tahun lepas, Melaka di kedudukan keenam yang ramai melahirkan pelapis muda berkualiti sukan golf dan kita sedang bergerak untuk mengukuhkan lagi kedudukan di peringkat nasional
“Menerusi MoU ini, kita menyediakan lokasi dan fasiliti untuk pemain sementara itu peranan UUMISM pula daripada segi latihan dan tenaga pengajar, manakala SK TUNSAS pula merupakan sekolah pengelola sukan golf.
“MoU ini juga bertujuan untuk memaklumkan kepada ibu bapa dan guru-guru di Melaka yang mahu menghantar anak-anak mereka ke AKCC bagi mengikuti latihan seterusnya menjadi pemain golf berkualiti,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Menandatangani MoU antara ketiga-tiga pihak berkenaan di AKSS, di sini, pada Khamis.
Terdahulu turut berlangsung Majlis Penutup Kejohanan Golf Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri Melaka (MSSNM) yang disempurnakan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman merangkap Pengerusi AKCC.
Mengulas lanjut, Syed Mahadzir berkata pihaknya peka terhadap situasi iaitu hanya terdapat sebuah sekolah sahaja yang benar-benar mempunyai kelab golf.
Jelasnya, berdasarkan jumlah peserta sambutan bagi penganjuran Kejohanan Golf MSSNM kali ini dianggap amat memberangsangkan.
“Dengan termeterai MoU ini kita harap ibu bapa khususnya tahu ke mana mahu menghantar anak-anak mereka untuk belajar bermain golf. Pada kejohanan ini, kita dapati banyak sekolah yang tiada kemudahan sukan golf namun menghantar wakil.
Peserta mewakili sekolah ketika ditemui menyatakan minat untuk aktif dalam sukan golf.
“Seperkara lagi AKCC adalah sebuah kelab yang diyakini dan paling ramai ahli iaitu seramai 2,200 ahli terdiri daripada pelbagai peringkat usia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.