Sorting by

×

Motosikal edisi khas MUFC bakal dilancarkan – Justin

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United (MUFC) terus mengorak langkah hampir setanding Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT FC) apabila bakal berkolaborasi dengan pengeluar motosikal tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif MUFC, Datuk Seri Justin Lim berkata, pihaknya kini sedang dalam perancangan akhir untuk menghasilkan motosikal edisi khas MUFC tersebut.

Tanpa mendedahkan jenamanya, beliau berkata, motosikal itu akan menampilkan warna keramat MUFC, selain turut diserikan dengan lakaran eksklusif sinonim dengan nama skuad Hang Tuah.

“Kami sedang bekerja rapat dengan Geng Tayar Besar (GTB) untuk menghasilkan motosikal edisi khas MUFC yang mana kita sekarang sudah bersedia bila-bila masa untuk memperkenalkannya apabila ia direalisasikan.

“Jika JDT FC ada kereta edisi khas Aston Martin, kita pula akan ada motosikal edisi khas MUFC.

“Walaupun tidak sebesar apa yang ada pada JDT FC, tapi kita anggap ini satu permulaan yang baik untuk kelab di masa akan datang,” katanya dalam wawancara khas bersama Melaka Hari Ini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Justin berkata, apabila motosikal berkenaan telah diperkenalkan, pihaknya bercadang untuk menghadiahkan motosikal tersebut kepada penyokong MUFC menerusi cabutan bertuah.

“Kita memang rancang hendak adakan cabutan bertuah kepada penyokong bertuah yang hadir ke stadium.

“Tetapi disebabkan penyokong tidak dibenarkan ke stadium lagi buat masa ini, kita akan menangguhkannya sehingga tiba masa yang sesuai.

“Apapun, selepas dilancarkan, penyokong boleh membeli motosikal edisi khas tersebut yang mana kesemua keuntungannya akan terus pergi kepada kelab untuk tujuan pembangunan bola sepak,” ujarnya.

Justin turut menambah, selain motosikal edisi khas, beberapa penaja besar juga telah menyatakan kesediaan untuk menaja kelab itu yang mana ia akan diumumkan pada masa yang sesuai.

Pada masa sama, katanya, MUFC juga bakal memiliki aplikasi telefon pintar sendiri yang turut merangkumkan platform e-dagang bagi tujuan pembelian pelbagai barangan secara dalam talian.

“Kesemua itu antara langkah-langkah yang kita ambil untuk menjana pendapatan sendiri untuk kelab selain bergantung kepada bola sepak.

“Diharap usaha yang dilakukan dapat memacu MUFC ke satu tahap lebih tinggi di masa akan datang,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

505
Kongsi :
Previous post Usul bahas Ordinan Darurat boleh dibawa ke sidang Parlimen September – Muhyiddin
Next post Melaka pertimbang insentif buat Aaron
Ubah saiz-+=