MOTAC saran setiap negeri lahirkan produk pelancongan baharu
KUALA TERENGGANU, 20 Mei – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyarankan setiap negeri supaya melahirkan produk pelancongan baharu bagi memperkasakan lagi sektor itu sekali gus menarik kehadiran lebih ramai pelancong.
Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata penjenamaan semula setiap produk pelancongan juga amat digalakkan bagi menonjolkan lagi kekuatan sektor pelancongan di setiap negeri.
“Selain pelancong tempatan sendiri, kita juga dapat permintaan dari luar untuk menonjolkan produk (pelancongan) baharu di negara ini… memang ada permintaan terutama dari India yang nak letakkan Malaysia sebagai destinasi perkahwinan mereka.
“Kekangan kita sekarang ialah kurang promosi sebab kita anggap produk sudah ada, jadi selepas pandemik ni kita kena lebih agresif untuk mempromosikan dan tonjolkan produk (pelancongan) termasuk yang baharu,” katanya di sini hari ini.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Rewang Raya sempena Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Aidilfitri 2022 di Masjid Kampung Seberang Takir di sini, yang turut dihadiri Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Sementara itu, ditanya adakah nilai ringgit yang semakin menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) akan memberi impak kepada sektor pelancongan negara, Nancy berkata dari sudut pelancongan isu itu agak ‘terasing’.
“Setakat ini dari segi mobiliti pelancong masih belum menunjukkan sebarang kesan, mungkin ada kenaikan harga barang tapi dari sudut pelancongan ia terasing, hotel-hotel kita penuh.
“Kementerian juga memberi subsidi dalam bentuk baucar berkaitan pelancongan, bagi bantuan untuk mengurangkan beban dan menggalakkan pelancong terutama domestik untuk bergerak,” katanya.
Beliau berkata pelancong sendiri sebenarnya perlu bijak menilai apabila ditawarkan perkhidmatan pada harga tertentu dan kebiasaannya pelancong sendiri memilih kadar yang mahal untuk perkhidmatan yang lebih berkualiti.
Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata program hari ini memberi nilai tambah kepada Terengganu untuk menonjolkan produk-produk pelancongan yang ada di negeri itu dalam usaha melonjakkan kembali sektor berkenaan dalam fasa peralihan ke endemik.
“Program (MRTM) seperti ini telah meletakkan negeri ini sebagai tumpuan seluruh negara, jarang ada peluang begini… selepas ini pemain industri pelancongan juga boleh menggunakan media sosial dengan lebih agresif dan memberi nilai tambah terhadap produk mereka agar dapat tarik pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.