MOTAC LULUS 76 PROJEK DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

DUYONG 24 September – Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah memperuntukkan sebanyak RM23.77 juta untuk Negeri Melaka bermula tahun 2020 sehingga Ogos 2024.

Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Wira Roslan Abdul Rahman berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 76 projek telah diluluskan.

Katanya, peruntukan itu merangkumi projek-projek fizikal berskala besar dan projek-projek penyelenggaraan kecil serta projek menaik taraf kemudahan infrastruktur pelancongan, kebudayaan dan warisan di Negeri Melaka.

“Kerja-kerja menaik taraf Kompleks Hang Tuah Centre, Duyong dengan peruntukan sebanyak RM4 juta, merupakan salah satu daripada tiga projek di Melaka yang telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

“Selain Hang Tuah Centre, peruntukan turut disalurkan kepada kerja-kerja naik taraf dan baik pulih Balai Adat dan Rumah Tradisional Institut Warisan Melaka (INSWA) sebagai Pusat Warisan dan Kebudayaan Negeri Melaka dengan kos RM1 juta juta yang telah siap pada 30 November 2022.

“Manakala, kerja-kerja baik pulih di Galeri Kebudayaan Portugis dengan nilai RM500,000 pula telah siap pada 21 Februari 2023,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Kerja- Kerja Menaiktaraf Kompleks Hang Tuah Centre, Duyong, di sini malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Md Azhan Samat; Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Erne Hamsah dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Ir. Mohamad Salzeli Moktar.

Dalam pada itu, Roslan turut memaklumkan dalam tempoh 2022-2023 seramai 922,317 orang pelancong telah mengunjungi muzium-muzium di bawah PERZIM.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

125
Kongsi :
Previous post SRA JAIM BAKAL DIJENAMAKAN DENGAN NAMA TOKOH ILMUAN ISLAM
Next post DUA BERADIK MAUT LANGGAR RORO: SIASAT JIKA ADA PELANGGARAN SOP
Ubah saiz-+=