Moratorium LPPSA: Lihat penjawat awam dalam konteks isi rumah, bukan individu
KUALA LUMPUR 4 Julai – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berpandangan isu penangguhan bayaran balik pinjaman perumahan penjawat awam perlu dilihat dalam konteks isi rumah, bukannya sebagai individu yang tidak mempunyai tanggungan.
Presidennya, Adnan Mat berkata, CUEPACS mengakui sekiranya dilihat daripada sudut individu penjawat awam sememangnya mereka tidak terkesan dari segi pendapatan.
Bagaimanapun dari sudut isi rumah, hampir 50 peratus pasangan mereka tidak bekerja di sektor kerajaan serta turut terkesan dengan pandemik yang melanda negara ketika ini.
“Tidak salah jika CUEPACS membawa suara mereka ini kerana mereka turut terjejas apabila pasangan masing-masing tidak lagi boleh berniaga, dipotong gaji malah ada yang diberhentikan kerja.
“Selain itu, kebanyakan bantuan yang disalurkan oleh kerajaan melihat daripada kesan langsung kepada isi rumah dan bukannya individu semata-mata,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengulas kenyataan seorang bekas menteri yang mempersoalkan alasan di sebalik permohonan CUEPACS menggesa kerajaan melalui Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) melakukan penangguhan bayaran balik pinjaman perumahan penjawat awam sepertimana yang ditawarkan pelbagai bank swasta.
Adnan berkata, kebanyakan penjawat awam memohon pinjaman LPPSA dengan mengemukakan pendapatan bersama pasangan masing-masing bagi membolehkan pembiayaan diluluskan.
“Sekiranya LPPSA membenarkan penangguhan bayaran pinjaman dilakukan, mereka yang terbabit akan mempunyai lebihan pendapatan yang boleh digunakan untuk merancang kembali kewangan serta membantu keluarga dalam kesusahan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.